Polis rampas dadah lebih RM1 juta di Johor, P Pinang

Polis rampas dadah lebih RM1 juta di Johor, P Pinang

Di Johor empat individu ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Batu Pahat pada 7 dan 8 Ogos manakala di Pulau Pinang dua warga asing ditahan di dua lokasi berasingan Ahad lalu.

Polis merampas syabu bernilai lebih RM1 juta di Johor dan pelbagai jenis dadah lain bernilai RM671,000 di Pulau Pinang. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran menggunakan tekong laut susulan rampasan syabu bernilai RM1 juta di Johor hujung minggu lepas, manakala di Pulau Pinang, pelbagai jenis dadah bernilai sekitar RM671,000 turut dirampas.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat individu ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Batu Pahat pada 7 dan 8 Ogos lepas.

Beliau berkata, serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun bersama rampasan sejumlah syabu dan lelaki itu didapati positif dadah morfin di samping mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurutnya, dua lagi serbuan susulan melibatkan penahanan sepasang suami isteri dan seorang wanita tempatan berusia 30 sehingga 35 tahun dan kesemua mereka didapati positif methamphetamine serta mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menggunakan tekong laut untuk menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini didapati beroperasi sejak Julai lepas dan dadah dipercayai diambil dari Pendang, Kedah untuk diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita dalam sidang media.

Beliau berkata, selain rampasan syabu seberat 29.48kg, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,210 dan semua suspek direman sehingga 14 Ogos dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ayob berkata, polis menumpaskan satu lagi sindiket dadah dalam serbuan pada 3 Ogos lepas susulan penahanan tiga lelaki berumur antara 29 dan 40 tahun dan rampasan 5.21kg syabu di sekitar Seri Alam, kira-kira 12 tengah malam.

Menurutnya empat kenderaan pelbagai jenis bernilai RM368,000, wang tunai RM4,810, barang kemas bernilai RM37,000 serta satu akaun bank yang mempunyai nilai wang RM100,000 turut dirampas dan ketiga-tiga individu terbabit memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan didapati positif methamphetamine direman selama tujuh hari. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Fisol Salleh berkata, polis menahan dua warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM671,000 dalam serbuan di sebuah rumah taman di Bukit Tengah dan sebuah unit kediaman kondominium di Gelugor, Ahad lepas.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Bukit Tengah pada pukul 10 malam, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 56 tahun dan merampas 18.58kg syabu, 12g pil eramin 5, 50 butir peluru jenis A USA 9mm Luger, 56 liter cecair kimia, peralatan memproses dadah dan penimbang.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu menyewa rumah teres setingkat berkenaan sejak dua tahun lepas dengan harga RM1,100.

“Siasatan juga mendapati lelaki yang telah tinggal di negara ini sejak 10 tahun lepas itu menjadikan rumah sewa itu sebagai tempat penyimpanan dadah dan pemeriksaan dokumen mendapati pasport serta dokumen perjalanan diri telah tamat tempoh sejak 2017,” katanya pada sidang media.

Susulan serbuan itu, Fisol berkata, polis menyerbu sebuah rumah jenis kondominium di Gelugor di sini pada 10.50 malam dan menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 31 tahun dan merampas 45.4g syabu bersamanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati wanita yang tinggal di kondominium itu sejak dua tahun lepas menyewa dengan harga RM1,200 sebulan dan dia merupakan teman wanita kepada ketua sindiket pengedaran dadah, iaitu lelaki warga tempatan yang ditahan di Selangor, baru-baru ini.

“Serbuan yang dijalankan itu adalah susulan tangkapan 10 orang termasuk tiga wanita, iaitu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang baru-baru ini…dua warga asing yang kami tahan di sini itu merupakan ahli sindiket berkenaan yang beroperasi di negeri ini sejak dua tahun lepas,” katanya.

Katanya, semua dadah yang dirampas bernilai RM671,000 dan polis masih menjalankan siasatan berhubung 50 butir peluru tersebut yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.