
Mana tidaknya, pasangan atau ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung isteri dan anak-anak terpisah jauh sejak beberapa siri sekatan pergerakan dilaksanakan.
Terpaksa berdepan pelbagai cabaran seperti kerisauan dan kerinduan antara satu sama lain terutamanya jika anak-anak masih kecil membuatkan segelintir mereka hilang semangat.
Suri rumah Rosmini Ab Rahim, 42, berkata, pengumuman rentas negeri itu sememangnya dinantikan kerana beliau dan suaminya terpisah lebih tiga bulan akibat sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu.
“Kami gembira dan teruja sangat bila dapat tahu kami dah boleh merentas, kalau tak ‘down’ juga mental ni, sebab anak-anak setiap hari sebut rindu ayah.
“Lagi-lagi yang bongsu berusia 4 tahun. Hari-hari tanya bila papa nak balik, sampaikan satu tahap mereka dah tak tanya dah, tak nak tahu apa-apa dah. Saya tak mahu macam tu, sampai mereka lupa ayahnya,” kata ibu kepada lima anak itu.
Rosmini berkata, dugaan pasangan PJJ sangat mencabar kali ini lebih-lebih lagi menyentuh perihal emosi kerana ketika musim wabak, beliau perlu memastikan keperluan anak-anak sentiasa mencukupi, terutamanya apabila menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Bayangkan kami dah 17 tahun tak pernah berpisah sekian lama, baru nak belajar PJJ, dah kena ‘lockdown’,” katanya kepada FMT.
Pada masa sama, beliau juga perlu memikirkan keadaan kesihatan suami yang duduk berseorangan di Kuala Lumpur dengan bilangan kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang menambahkan lagi kerisauannya.
Namun, perasaan khuatir dan takut mereka terhadap virus “pembunuh” itu akhirnya terpaksa ditelan juga selepas suami, Mohd Zamri Abd Latib disahkan positif Covid-19 awal Julai lalu.
“Dengan usia suami yang sudah 50 tahun dan duduk seorang diri di sana membuatkan saya tidak senang duduk setiap hari. Setiap malam sebelum tidur, saya akan hubungi suami sampai masing-masing tertidur di hujung talian,” katanya yang bersyukur suaminya kini sudah pulih sepenuhnya.
Menyentuh mengenai kesan “lockdown” beliau berkata, daripada keadaannya yang sihat tubuh badan, beliau kini menghidap darah tinggi akibat tekanan yang tidak disangka membebankan tahap kesihatan.
“Fizikal memang kita nampak macam biasa sebab nak tak nak kita kena tempuh dan kuat depan anak-anak, tetapi dalaman rupanya kita berperang dengan emosi sendiri.
“Saya terpaksa jumpa doktor kerana tekanan darah ‘mencanak’ dan terpaksa makan ubat darah tinggi sampai sekarang. Emosi masa itu memang sangat-sangat terkesan,” kata Rosmini, yang bersama suaminya, telah lengkap vaksinasi.
Dalam pada itu, Rosmini berharap kelonggaran yang diberikan kepada pasangan PJJ tidak dicemburui pihak lain.
“Kita dah tunggu dekat tiga bulan nak dengar berita ini, saya harap pihak lain faham kenapa pasangan PJJ bersemangat tunggu berita seperti ini.
“Kita dah ‘break down’ dari segi emosi, keluargalah banyak bantu dan paling penting untuk kita terus kuat adalah sistem sokongan suami, anak-anak dan ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi individu yang terpisah dengan pasangannya, iaitu antara Bangi, Selangor dan Kuantan, Pahang, menyambut baik kelonggaran yang diberikan, namun meminta kerajaan melonggarkan lagi syarat untuk merentas negeri.
Safarin Sulaiman berkata, syarat dua pihak perlu lengkap vaksinasi sedikit mendukacitakan kerana sehingga kini, isteri beliau masih tidak mendapat janji temu untuk menerima vaksin.

“Saya kira jika salah seorang sudah lengkap vaksin pun sudah memadai kerana kami hanya mahu pulang berjumpa isteri dan anak-anak, tak dapat pergi mana-mana pun tak apa, janji dapat balik rumah tatap wajah anak-anak.
“Mental dah hampir koyak ni,” luah lelaki berusia 39 tahun itu.
Ahad lalu, kerajaan mengumumkan pasangan PJJ yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.