
Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop, berkata lelaki berumur 30-an itu ditahan di Pulau Pinang pada 10.30 pagi, menjadikan setakat ini dua orang ditahan, termasuk seorang selebriti pada 1 Ogos lepas, bagi membantu siasatan.
“Kami masih menyiasat kes berkenaan dengan lelaki itu direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) hingga 13 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Media sebelum ini melaporkan penahanan seorang selebriti lelaki berumur 40-an bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri ini.
Selebriti itu bagaimanapun dilaporkan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari.
Susulan penahanannya, polis menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.