Apa yang dibenarkan untuk penerima vaksin penuh

Apa yang dibenarkan untuk penerima vaksin penuh

Antaranya, pasangan jarak jauh dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa satu sama lain.

Individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa 2 dan seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara dibenarkan merentas daerah.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran untuk individu yang divaksin sepenuhnya berkuat kuasa Selasa ini.

Beliau berkata, seseorang individu hanya akan diiktiraf lengkap vaksin selepas hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan, iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, katanya, individu itu perlu melepasi hari ke-28 selepas tarikh suntikan.

Muhyiddin berkata, mereka perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 kepada petugas di sekatan jalan raya atau premis, serta mematuhi SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Aktiviti dibenarkan untuk semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara:

  • Hanya aktiviti solat dibenarkan di masjid dan surau dengan mematuhi SOP dan jemaah perlu terus pulang selepas selesai bersolat.
  • Penganut bukan Islam dibenar bersembahyang di rumah ibadat masing-masing, pelaksanaannya tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara.
  • Suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas daerah atau negeri berjumpa satu sama lain.
  • Ibu bapa lengkap divaksin dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah 18 tahun.
  • Warganegara dan warga asing yang mempunyai kediaman di Malaysia, termasuk penduduk tetap (PR) dan peserta Malaysia MY Second Home yang pulang dari luar negara boleh menjalani kuarantin wajib di rumah, dengan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital akan diberikan.

Aktiviti dibenarkan untuk negeri Fasa 2 dan ke atas:

  • Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di kawasan terbuka serta separa terbuka dibenarkan dari 6 pagi hingga 10 malam.
  • Rentas daerah.
  • Makan di dalam restoran atau “dine-in”.
  • Melancong dalam negeri sama membabitkan rumah inap desa dan hotel.

Muhyiddin berkata, kemudahan di sektor ekonomi yang sedang dibincang dan dipertimbangkan sidang khas Majlis Keselamatan Negara akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Beliau mengarahkan Menteri Dalam Negeri memastikan semua kementerian dan agensi bertanggungjawab mempergiatkan penguatkuasaan serta pemantauan ke atas kemudahan yang diberikan.

Katanya, kelonggaran itu tidak bermakna rakyat boleh mengabaikan SOP yang ditetapkan.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak menarik semula kemudahan yang diberikan, jika berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan SOP,” katanya menerusi pengumuman khas sebentar tadi.

Jika berlaku jangkitan di premis yang menikmati kemudahan itu, katanya, langkah sewajarnya akan diambil, termasuk melakukan penilaian semula risiko serta mungkin menutup premis atau kawasan terlibat serta-merta, selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang melanggar SOP.

Negeri yang masih di bawah Fasa 1 ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah,  manakala Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Sabah berada di bawah Fasa 2 ketika ini.

Perlis, Sarawak dan Labuan pula sudah beralih ke Fasa 3.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.