Hentikan pinjaman, cetak wang atau buka semula ekonomi, kerajaan diberitahu

Hentikan pinjaman, cetak wang atau buka semula ekonomi, kerajaan diberitahu

Seorang ahli ekonomi berkata peluang pekerjaan dengan gaji memuaskan lebih baik daripada pemberian bantuan wang tunai yang dibiayai oleh hutang.

Geoffrey Williams berkata lanjutan PKP memberi kemusnahan ekonomi dalam tempoh jangka panjang membantutkan pertumbuhan dan potensi pendapatan kerajaan.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi menggesa kerajaan supaya berhenti meminjam untuk membiayai bantuan wang tunai kepada rakyat, tetapi ambil pendekatan mencetak lebih banyak wang kertas atau buka semula ekonomi bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pekerjaan.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata kaedah terbaik untuk menjaga kebajikan rakyat adalah menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji memuaskan.

“Orang ramai tidak mahu pemberian tetapi mereka ingin bekerja dan diberi gaji memuaskan,” katanya kepada FMT.

Beliau merujuk kepada gesaan yang dibuat bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa individu lain supaya kerajaan menaikkan had hutang berkanun.

Geoffrey Williams.

Najib baru-baru ini mencadangkan had hutang dinaikkan kepada 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 60% ketika ini untuk membiayai bantuan wang tunai kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Williams berkata peningkatan hutang untuk menyediakan rangsangan mungkin masih terkawal selagi ada pertumbuhan jangka panjang untuk menghasilkan pendapatan yang melebihi kos pinjaman.

Dia berkata ini sebabnya mengapa ia penting untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Anda tidak boleh melihat pertumbuhan ekonomi dalam tempoh PKP. Ketika ia dilanjutkan, kemusnahan dalam tempoh jangka panjang membantutkan pertumbuhan dan potensi pendapatan kerajaan.”

Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan bercadang membentangkan usul untuk menaikkan had hutang berkanun dalam sidang Parlimen pada September ini.

Paras hutang Malaysia ketika ini adalah 58% daripada KDNK.

Putrajaya memperkenalkan lapan pakej rangsangan sejak dilanda pandemik Covid-19 membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM530 bilion termasuk suntikan fiskal bernilai RM83 bilion.

Berjoyai Bardai.

Seorang lagi ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan had hutang.

Beliau berkata masih terdapat ruang untuk meningkatkan pinjaman tetapi Putrajaya harus berusaha mendapatkan pinjaman menerusi cara domestik dengan menerbitkan bon.

Katanya kepada FMT, ia masih wajar untuk meningkatkan had hutang kepada 70% yang bermaksud kenaikan sekitar RM162 bilion.

Dia turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan dana pembiayaan oleh gabungan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan negeri.

“Kerajaan tidak mengalami kesempitan wang kerana kita mempunyai GLC, syarikat milik kerajaan negeri, tanah rizab dan sebagainya. Jika kita gabungkan semua ini, kita masih mempunyai kekayaan lebih RM5 trilion.

“Jika kita mulakan hari ini, kita akan mengunci semua kekayaan dalam dana pembiayaan ini dan ia boleh menyumbang kepada kerajaan dan rakyat setiap tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.