Tiada tanda akan dibuka semula, pengusaha kedai gunting rambut terus buntu

Tiada tanda akan dibuka semula, pengusaha kedai gunting rambut terus buntu

Sejak 18 bulan lalu, tukang gunting rambut terpaksa menutup perniagaan selama enam bulan dan ia adalah kali ketiga sektor itu diarah tutup.

Penutupan kedai gunting ketika PKP amat memeritkan untuk pengusaha di Lembah Klang sejak pelaksanaan perintah sekatan terbaru pada 1 Jun lalu.
PETALING JAYA:
Walaupun masih belum dibenarkan beroperasi sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa pada 1 Jun lalu, namun Kumaran Gunasegaran tetap membayar gaji minimum kepada pekerja dan sewa kedai guntingnya.

Pemilik beberapa cawangan kedai gunting di sekitar Kuala Lumpur itu tetap menjaga kebajikan pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing bagi memastikan mereka dapat membeli makanan ketika waktu sukar ini.

Bagaimanapun, Kumaran memberitahu FMT, dia terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk bertahan sejak dua bulan lalu dan tahun ini begitu sukar buatnya.

Daripada lima cawangan sebelum ini, dia kini hanya tinggal tiga kedai gunting rambut sahaja hingga memaksanya menghantar pulang pekerja asing daripada dua cawangan yang ditutup itu.

“Bukan saya saja, tukang gunting lain juga berdepan masalah sama. Rakan dan sepupu yang bekerja sebagai tukang gunting turut mengalami nasib sama.

“Jika berlarutan sebulan lagi, mungkin saya perlu menutup semua cawangan,” katanya.

Katanya, dia tidak mempunyai sumber pendapatan lain sejak dua bulan lalu dan hanya tahu menjalankan perniagaan kedai gunting saja.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana pemilik rumah yang disewanya bertolak ansur dengan memberi kelonggaran untuk melunaskan sewa.

Namun ia tidak memadai dan dia berharap Putrajaya akan membenarkan sektor perniagaan dandanan rambut dibuka semula. Katanya, semua pekerjanya sudah pun menerima vaksin.

Rayuan itu disuarakan Kumaran sebagai salah seorang daripada tukang gunting di negeri yang masih di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila kes Covid-19 kekal tinggi, antara lain di Lembah Klang, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.

Sementara itu, tukang gunting rambut di negeri seperti Pulau Pinang, Sabah, Perak, Kelantan dan Terengganu dibenarkan beroperasi biarpun kes naik di negeri berkenaan.

Akilan Ananda Krishnan daripada Persatuan Pendandan Rambut KL-Selangor berkata, kira-kira 90% tukang gunting muda meninggalkan sektor itu sejak 18 bulan lalu dengan alasan kurangnya pekerjaan dan pendapatan yang tidak terjamin sebagai faktor utama.

Timbalan presiden persatuan itu bersimpati dengan mereka sambil menjelaskan bahawa sejak 18 bulan lalu, tukang gunting terpaksa menutup perniagaan selama enam bulan.

“Ia adalah kali ketiga dalam tempoh 18 bulan,” katanya kepada FMT dengan menambah bahawa kebanyakan pengusaha baharu meninggalkan perniagaan akibat kekurangan sumber untuk bertahan.

“Secara jujurnya, saya mampu bertahan kerana berada dalam perniagaan ini lebih 30 tahun. Saya mempunyai simpanan yang mencukupi. Jika ada yang baru lima tahun menjalankan perniagaan ini, ia mungkin terpaksa ditutup sekarang.”

Akilan juga terus membayar gaji minimum kepada pekerjanya terdiri daripada warga tempatan dan asing kerana sedar ia penting untuk membantu mereka membeli barangan keperluan.

Dia berkata, kerajaan harus menggunakan pendekatan berbeza terhadap industri itu dengan mencadangkan langkah penutupan dilakukan ke atas cawangan tertentu bagi tujuan sanitasi dan saringan sekiranya ada kes Covid-19 dikesan.

“Itu lebih baik berbanding menutup semua perniagaan. Ia amat menyakitkan,” katanya yang memberitahu bahawa tukang gunting juga memperuntukkan wang bagi menyediakan peralatan gunting rambut ketika Covid-19 seperti sarung tangan getah, klip rambut pakai buang serta produk sanitasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.