Runding pemegang taruh dulu berkait dasar besar ekonomi, kerajaan diberitahu

Runding pemegang taruh dulu berkait dasar besar ekonomi, kerajaan diberitahu

Dewan perniagaan Cina mengalu-alukan semakan ambang e-invois namun menyatakan penglibatan awal berkait pembaharuan masa depan akan memastikan kejelasan dan kebolehlaksanaan.

ACCCIM menyatakan pihaknya berulang kali menyuarakan kebimbangan e-invois mampu meningkatkan kos perniagaan, seterusnya membawa kesan berantai ekonomi.
PETALING JAYA:
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) menyeru kerajaan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan lebih awal, sebelum membuat keputusan besar dasar ekonomi pada masa hadapan.

Sambil mengalu-alukan keputusan Putrajaya menaikkan ambang hasil tahunan bagi mandatori e-invois, pihaknya berulang-kali menyuarakan kebimbangan ambang yang rendah antara faktor menyumbang peningkatan kos perniagaan, seterusnya membawa kepada kesan berantai ekonomi.

ACCCIM juga menghargai keputusan kerajaan menyediakan moratorium dua tahun terhadap keperluan melaporkan kekosongan jawatan di bawah portal MYFutureJobs sebagai sebahagian cadangan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Namun, ACCCIM menyatakan pindaan khusus berkenaan perlu mengimbangi antara keperluan mempunyai pasaran buruh yang telus dengan keperluan keanjalan perniagaan beroperasi dan beban pematuhan yang minimum.

“Akan datang, rundingan awal dengan pihak berkepentingan utama perlu diadakan sebelum rumusan perubahan dasar besar bagi memastikan kejelasan, kebolehlaksanaan, dan pelaksanaan lebih lancar.

“Kami amat berharap kerajaan akan terus memupuk persekitaran perniagaan kondusif dan melaksanakan pembaharuan ekonomi pada masa hadapan secara beransur-ansur, dengan fasa tersusun rapi, disokong penglibatan bermakna pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim umum Jemaah Menteri memutuskan untuk mengecualikan perniagaan dengan hasil tahunan bawah RM1 juta daripada e-invois mandatori, berkuat kuasa 1 Jan.

Pada Jun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata Kementerian Kewangan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan e-invois bagi syarikat memperoleh pendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ke 1 Jan 2026, daripada tarikh yang dijadualkan sebelum ini iaitu 1 Julai 2025.

Pelaksanaan untuk syarikat dengan hasil tahunan sehingga RM1 juta, yang kini dibatalkan, awalnya dijadual tangguh ke 1 Julai 2026.

Beberapa kumpulan perniagaan berulang kali menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan e-invois, sambil menyatakan kebanyakan peniaga lebih kecil kekurangan sumber kewangan, pendidikan, dan kepakaran teknikal melaksanakannya secara berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.