Padah sertai parti liar, 16 individu didenda RM3,000

Padah sertai parti liar, 16 individu didenda RM3,000

Empat remaja lelaki bawah umur yang turut ditahan dalam serbuan hujung minggu lalu itu akan dihukum kemudian.

Enam daripada 20 tertuduh dewasa juga bakal menghadapi pertuduhan menggunakan dan memiliki dadah di mahkamah berasingan. (Gambar Reuters)
GEORGE TOWN:
Seramai 20 orang termasuk empat remaja lelaki bawah umur yang menyertai “parti liar” di sini pada malam Ahad lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Semua individu itu didakwa mengambil bahagian dalam majlis di Halaman Bukit Gambir 8, Gelugor, pada 1 Ogos lalu. Pengakuan empat pesalah juvana berusia 17 tahun, yang identiti mereka tidak didedahkan, bagaimanapun tidak direkodkan.

Tertuduh adalah Nur Amira Mohd Nasir, 24, Mohamad Fekri Amri Mohd Poudzi, 25, Muhammad Afiq Ali, 19, Muhammad Faiz Fazlee, 18, Mohammad Aidel Nazeem Frihan, 22, Muhammad Aznil Mohd Azmi, 20, Muhamad Danial Hakim Jamil, 20, Muhammad Isa Ramli, 20, Mohamad Muhamin Hassim, 20, Nor Athirah Farizami Zali Zaidi, 19, Nur Umairah Mohd Rashidi, 19, Nurul Izzaty Anuar 20, Noorilyana Sufi Noorhisham, 19, Nur Farah Wahidah Roslee, 23, Nur Farah Hanis Mohd Nazri, 25 dan Fazrul Hisham Faizal, 19.

Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim memohon hukuman yang dapat dijadikan pengajaran kerana perbuatan semua individu itu jelas melanggar peraturan sekatan pergerakan ketika kes jangkitan Covid-19 sedang tinggi.

Semua tertuduh tidak mempunyai peguam bela. Bagaimanapun, peguam RSN Rayer hadir sebagai amicus curiae (“sahabat mahkamah”) yang tidak berkaitan dengan kes tetapi dibenarkan mengambil bahagian dalam prosiding).

Rayer memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana semua tertuduh adalah pesalah kali pertama.

Hakim Norsalha Hamzah memerintahkan semua tertuduh dewasa masing-masing didenda RM3,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayarnya.

Sementara itu, hukuman empat pesalah juvana berkenaan ditangguhkan sehingga menerima laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti diperuntukkan Akta Kanak-kanak 2001.

Mereka masing-masing dibenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin ahli keluarga.

Enam daripada 20 tertuduh dewasa juga bakal menghadapi pertuduhan menggunakan dan memiliki dadah di mahkamah berasingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.