Himpunan Ahli Parlimen pembangkang: 4 selesai beri keterangan

Himpunan Ahli Parlimen pembangkang: 4 selesai beri keterangan

Selepas selesai memberi keterangan, Fahmi Fadzil membuat dua laporan polis, satu daripadanya berhubung tindakan menghalang Ahli Parlimen ke Parlimen dan satu lagi terhadap Zuraida Kamaruddin.

Fahmi Fadzil membuat dua laporan polis, selepas selesai memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada 12.10 tengah hari tadi.
PETALING JAYA:
Empat Ahli Parlimen pembangkang selesai memberi keterangan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka Isnin lalu.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng selesai memberi keterangan pada 10.30 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ia disusuli Ahli Parlimen Simpang Rengam, Maszlee Malik bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang memasuki IPD Dang Wangi pada 10.30 pagi dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua setengah jam kemudian.

Pua dan Maszlee selesai memberi keterangan pada 11.30 pagi.

Pua berkata, beliau disoal berhubung isu penjarakan fizikal dalam perhimpunan kelmarin.

Katanya, Ahli Parlimen pembangkang tidak berhimpun dan beliau meminta pihak berkuasa tidak menghalang wakil rakyat menjalankan tugas mereka.

“(Harap polis) tumpu perhatian kes lebih serius dan tak jalankan kerja-kerja untuk sekat Ahli Parlimen menjalankan tugas mereka,” katanya selepas selesai memberi keterangan.

Kelmarin, 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka untuk berarak ke Parlimen dalam bantahan mendesak Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet meletak jawatan.

Bagaimanapun, percubaan berarak ke Parlimen itu tidak berjaya kerana anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang laluan masuk ke Jalan Parlimen dari Dataran Merdeka.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, 206 laporan diterima di seluruh negara berhubung perhimpunan pada Isnin lalu dan satu kertas siasatan telah dibuka bagi semua laporan diterima, dengan individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan untuk melengkapkan kertas siasatan.

Sementara itu, Lim berkata, beliau memberi kerjasama penuh kepada polis dan sedia memberi keterangan di mahkamah.

“Polis tanya siapa penganjur dan apa tujuan. Saya beritahu saya tak tahu siapa penganjur himpunan itu.”

Maszlee pula mengucapkan terima kasih kepada polis yang menjalankan tugas mereka secara profesional dan menyerahkan kepada Fahmi untuk mengulas tindakan polis memanggil Ahli Parlimen pembangkang memberi keterangan.

Fahmi selesai memberi keterangan pada 12.10 tengah hari tadi dan beliau kemudian membuat dua laporan polis.

Satu daripadanya berhubung tindakan pihak berkuasa menghalang Ahli Parlimen ke Parlimen Isnin lalu.

“Ramai Ahli Parlimen merasakan terdapat satu pelanggaran besar terhadap perintah Dewan kepada Ketua Polis Negara,” katanya merujuk usul Menteri Dalam Negeri yang diluluskan pada 13 Julai 2020, dengan Dewan Rakyat memerintahkan Ketua Polis Negara memastikan tiada sebarang halangan untuk Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat.

“Akan ada Ahli Parlimen buat laporan polis untuk meminta perkara itu disiasat.”

Fahmi berkata, satu lagi laporan polis dibuat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang seolah-olah mempertikai peranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Ketua Negara.

Beliau berkata, kenyataan Zuraida dalam satu wawancara Isnin lalu dilihat tidak menghormati dan biadap terhadap Agong.

Dalam wawancara dengan Astro Awani itu, Zuraida dilaporkan berkata, Agong melakukan kekhilafan ketika menasihati kerajaan dan perlu merujuk kepada kerajaan sebelum membuat kenyataan umum berhubung pembatalan darurat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.