
Terdahulu, kerajaan menerima teguran daripada Istana Negara setelah mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat, yang katanya dibuat tanpa perkenan Agong. Peristiwa ini mencetuskan desakan agar Perdana Menteri dan Jemaah Menteri meletak jawatan.
“Tiada krisis perlembagaan …kerajaan tetap terus mengekalkan hubungan baik dan penuh kesetiaan pada raja dan negara,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu di Facebook.
Katanya, kerajaan sudah mempunyai cara penyelesaian tentang isu pembatalan ordinan-ordinan berkenaan dengan mengambil kira titah pandangan Agong.
“Kita yakin Agong tidak suka pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan menokok tambah cerita dengan menambah ‘perasa’ politik bagi memenuhi agenda masing masing.
“Jemaah Menteri dan Agong akan sentiasa dan terus saling berbincang dan secara bersama melaksanakan tugas mentadbir negara seperti biasa, menurut undang undang dan perlembagaan negara, dengan Agong sebagai ketua negara,” katanya.
Pada Ahad, penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan belia menganjurkan demonstrasi #Lawan di Kuala Lumpur untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dan semalam, Ahli Parlimen pembangkang cuba berarak ke Parlimen dengan membawa kain rentang mendesak Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berundur.