
Beberapa individu dan organisasi yang terbabit dalam kempen itu memberitahu FMT bahawa masih ramai lagi yang memerlukan bantuan berkenaan.
Jurucakap restoran Lovo TTDI berkata, terdapat permintaan setiap hari untuk membantu keluarga dan individu yang terjejas akibat pandemik.
Restoran itu telah mengagihkan 850 pakej bantuan bernilai kira-kira RM54,000 setakat ini dan berhasrat untuk meneruskannya sehingga situasi Covid-19 di Lembah Klang kembali pulih.
Bagaimanapun katanya, lebih banyak sumbangan diperlukan untuk meneruskan bank makanan yang bergantung sepenuhnya kepada pelanggan restoran dan komuniti setempat.
“Kita menjangkakan lebih ramai orang akan bergantung kepada bank makanan dalam tempoh beberapa minggu lagi. Sekiranya ada yang boleh memberi sumbangan makanan, kewangan atau menjadi sukarelawan, mereka digalakkan berhubung dengan kami.”
Menerusi kempen “#BenderaPutih”, mereka yang memerlukan makanan atau bantuan lain digalakkan mengibarkan bendera putih di rumah mereka tanpa berasa takut atau malu.
Kempen itu bermula susulan peningkatan laporan kes bunuh diri membabitkan mangsa yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.
FMT telah menyenaraikan beberapa individu dan organisasi yang menawarkan bantuan di bawah kempen ini.
“Selepas disenarai dalam FMT, ia membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kewujudan bank makanan kami,” kata jurucakap Loco TTDI.
“Kami menerima banyak panggilan dan pertanyaan daripada mereka yang ingin mendapatkan bantuan dan ingin menderma makanan dan pelbagai barangan lain.”
Nur Dinie Mohd Fadil, yang mengasaskan satu inisiatif di Negeri Sembilan dikenali sebagai #WaghihBantuWaghih berkata, pasukannya telah membantu lebih 200 keluarga dan mengumpul hampir RM15,000.
Dia berkata, senarai FMT itu memberi kesan ke atas inisiatif tersebut.
“Kami masih menerima sumbangan dan permintaan untuk memberi bantuan.”
Bagaimanapun, Nur Dinie berkata, momentum semakin perlahan namun dia akan meneruskan projek bank makanan untuk jangka masa panjang.
“Kami bertanyakan kepada penerima dengan lebih lanjut. Dengan cara itu, ia memudahkan kami mendapatkan perkembangan mereka secara berkala. Kita tidak mahu ia sekadar menjadi inisiatif “one-off” sahaja. Kita ingin terus membantu mereka.”
Seorang lagi individu yang menyertai kempen itu, Puteri Nur Balqis berkata, ia adalah kali pertama untuk dirinya menganjurkan kempen kebajikan.
“Kita membantu kira-kira 30 keluarga di Perak setiap minggu,” katanya.
Puteri berkata, ia lebih baik sekiranya bantuan lain seperti pembayaran bil boleh dipertimbangkan kepada golongan memerlukan itu.