
Susulan penangguhan dua minggu dari sidang Khamis lalu, Lim mendapati Dewan Rakyat masih boleh bersidang seawal 16 Ogos ini dan Dewan Negara dari 17 hingga 19 Ogos, berbanding bulan depan.
Katanya, kenyataan Muhyiddin sepanjang empat perenggan hari ini menunjukkan perdana menteri tidak akan meletak jawatan atau “mengorbankan” mana-mana menteri atau pegawainya, serta mengelakkan sebarang percubaan untuk menjatuhkan “kerajaan pintu belakangnya”.
“Kedua, berakhirnya percubaan tidak wajar untuk membatalkan enam Ordinan Darurat yang diputuskan Kabinet pada 21 Julai,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, masih timbul persoalan lain berhubung sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara seterusnya.
“Muhyiddin harus menjelaskan mengapa sidang khas Parlimen yang dipendekkan tidak dapat diadakan semula pada 16 Ogos atau pada tarikh lebih awal supaya usul membatalkan enam Ordinan Darurat dapat dibentangkan, dibahaskan dan diputuskan dalam sidang tersebut.”
Dengan berakhirnya Darurat pada 1 Ogos lalu, Muhyiddin berkata, isu pembatalan Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi timbul.
Namun katanya, Ordinan Darurat akan dibawa ke Parlimen pada sidang berikutnya bulan depan untuk dibahaskan, sejajar titah Agong berhubung perkara itu dan Kabinet akan membincangkannya esok.