
Pengerusinya, Zulqarnain Lukman berharap polis akan bertindak secara profesional terhadap mereka dan tidak ada “double standard” dalam menguatkuasakan undang-undang.
Ia susulan kenyataan Istana Negara bahawa Putrajaya tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat.
Zulqarnain berkata, Agong memberitahu Takiyuddin dan Idrus ketika pertemuan menghadap secara maya sebelum ini berhubung cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan
“KANUN menyatakan tindakan Takiyuddin dan Idrus itu tidak berperlembagaan dan bertentangan sama sekali dengan ikrar dan sumpah yang dibuat oleh mereka sebelum menjawat jawatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, biro itu juga menyatakan bahawa selain mereka berdua, perdana menteri dan seluruh anggota Kabinet juga hendaklah bertanggungjawab secara kolektif terhadap tindakan Takiyuddin sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara.43(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada tindakan yang lebih bermaruah untuk mereka ini melainkan untuk meletakkan jawatan atas kegagalan perdana menteri dan seluruh Kabinet untuk mempertahankan Institusi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen dan Perlembagaan sendiri,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu juga adalah satu jenayah yang boleh diambil tindakan bawah Seksyen 121B Kanun Keseksaan, kesalahan terhadap kuasa Agong dan seksyen-seksyen yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi iaitu seksyen 124B, 124C, 124H dan 124I Kanun Keseksaan.