PAS bidas kenyataan Tony Pua berkait peranan institusi diraja

PAS bidas kenyataan Tony Pua berkait peranan institusi diraja

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kenyataan bekas Ahli Parlimen itu meningkatkan keresahan awam.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua telah mencetuskan ‘kontroversi yang tidak perlu’.
PETALING JAYA:
PAS hari ini membidas kenyataan Tony Pua mengenai peranan institusi diraja susulan titah Sultan Selangor agar Adun memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi diraja.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan balas Pua telah meningkatkan keresahan awam.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu pada Selasa berkata kuasa raja adalah terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan menteri besar serta perkenan pembubaran dewan undangan negeri.

Pua, yang merupakan penasihat dasar kepada setiausaha agung DAP Loke Siew Fook, berkata ‘kita tidak hidup dalam sistem di mana monarki boleh mengeluarkan titah yang mengikat bagi semua aspek kehidupan rakyat’.

Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan Adun DAP Wong Siew Ki dan bekas pemimpin DAP Ronnie Liu supaya lebih memahami Rukun Negara dan menghormati institusi diraja.

Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi berkaitan reaksi Wong dan Liu terhadap titah sultan yang mahukan penternakan babi di negeri itu ditamatkan sepenuhnya.

Umno kemudiannya mengecam Tony Pua kerana didakwa tidak menghormati institusi diraja dan bersikap biadab.

Takiyuddin berkata titah sultan perlu difahami dalam konteks luas melalui semangat tanggungjawab kebangsaan dan sikap sederhana agar semua pihak tidak bertindak atau membuat kenyataan yang boleh menyemarakkan sentimen perkauman.

“Respons tidak cermat Pua terhadap titah tersebut malangnya semakin meningkatkan keresahan awam, sekali gus mencetuskan kontroversi baharu yang tidak perlu pada saat suhu ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat sudah sedia tinggi,” katanya.

Beliau menambah sebarang respons atau kenyataan terhadap raja-raja Melayu mesti dibuat secara berhati-hati, adab dan kehormatan.

Katanya, isu yang dibangkitkan Pua mungkin dilihat berkaitan pentadbiran atau pendekatan namun apabila dibahaskan dalam persekitaran penuh emosi dan dipolitikkan, ia akan menyumbang kepada peningkatan keresahan awam.

Takiyuddin turut mengkritik amalan berselindung di sebalik kedaulatan perlembagaan atau tafsiran konsep raja berpelembagaan untuk mempersoalkan titah sultan apabila ia tidak sesuai dengan kepentingan tertentu, sambil menyifatkan tindakan itu hanya menunjukkan sikap hipokrit dan oportunis.

“Ia sama sekali tidak membuktikan bahawa mereka bersifat patriotik atau menghormati undang-undang,” katanya tanpa memberikan contoh khusus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.