
“Dengan ini kami mengambil ketetapan untuk menyatakan hilang kepercayaan kepada perdana menteri dan dimakzulkan daripada jawatan dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Beliau juga membidas keputusan menangguhkan sidang Parlimen hari ini selama beberapa jam, atas alasan kes Covid-19 dikesan.
“Ini helahnya, padahal kita boleh melakukan saringan tanpa mempersulit keadaan perjalanan Parlimen, bagi kita majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada hari ini menganggap Muhyiddin telah dimakzul, dipecat, gugur jawatannya sebagai perdana menteri,” katanya.
Anwar turut memaklumkan beliau telah menghantar usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun supaya isu Muhyiddin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen dibentangkan.
Beliau turut mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengguna pelbagai helah untuk melakukan undian di Dewan Rakyat kerana menyedari tiada majoriti.
“Saya nak tambah, pertama keengganan mereka mengadakan apa saja bentuk undian kerana mereka tahu sudah hilang kepercayaan Ahli Parlimen. Kedua, setelah titah Agong disampaikan sekali pun mereka masih ingkar dan mencari helah (dengan menangguhkan dewan).
“Oleh itu kita tak boleh tunggu lagi, Parlimen sudah bersidang dan kita telah menyatakan pandangan,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengadakan sidang media untuk menyatakan pandangan pihaknya berhubung situasi semasa politik negara.
Bagaimanapun ia terhenti seketika apabila pihak Parlimen membuat pengumuman bahawa setiap wakil rakyat yang hadir diminta menjalani ujian saringan RTK Antigen (RTK-Ag) dengan kadar segera.
Anwar turut menyifatkan pengumuman itu sebagai helah untuk melambatkan sidang sedangkan Dewan Rakyat boleh berjalan pada masa sama saringan dibuat terhadap semua wakil rakyat.
Selain Muhyiddin, beliau turut menggesa Azhar dan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan meletak jawatan sebagai Speaker dan menteri kerana telah mengelirukan Dewan.
“Kami tadi telah menemui Speaker minta letak jawatan secara terhormat segera, dan tentunya dalam kenyataan Agong, dua kali disebut nama Takiyuddin secara terhormat telah lakukan kesilapan dan ingkar, dan kelirukan Dewan (seterusnya) sepatutnya letak jawatan segera,” katanya.
Anwar menambah, beliau akan melihat perkembangan sehari dua ini dan jika ada keperluan untuk menghadap Agong.
Terdahulu Timbalan Yang Dipertua Dewan, Rashid Hasnon menangguhkan persidangan Parlimen sehingga 5.15 petang untuk kali ketiga hari ini, dengan alasan semua wakil rakyat dan pegawai di Parlimen perlu melakukan ujian saringan susulan terdapat penularan Covid-19 di bangunan itu.
Penangguhan sidang beberapa kali itu juga rentetan kenyataan Istana Negara apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan pengumuman pembatalan Darurat di Parlimen, Isnin lalu.