
“Ini hanya menunjukkan betapa sedikitnya rasa hormat pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap Parlimen dan demokrasi berparlimen,” kata Zaid Ibrahim.
Beliau pernah menjadi Menteri Undang-undang sebelum mengundurkan diri daripada Jemaah Menteri pada 2008 dan meninggalkan Umno tidak lama kemudian.
Di negara yang mengamalkan gaya demokrasi Westminster, kata Zaid, sidang Parlimen seharusnya diisi perbahasan yang cerdas dan kukuh selain penglibatan aktif Perdana Menteri dalam menjawab soalan.
“Tetapi pada Isnin, setelah berbulan-bulan Parlimen ditangguhkan, Muhyiddin memberi taklimat dengan beliau mengulangi perkara-perkara yang pernah kita dengar sebelum ini dan menghilangkan diri sebelum Ahli Parlimen berpeluang mengajukan soalan kepadanya.
“Ini termasuk soalan yang paling penting, iaitu sama ada Yang di-Pertuan Agong memperkenan pembatalan Ordinan Darurat,” katanya.
Beliau berkata, “kehilangan” Muhyiddin daripada sidang Dewan Rakyat adalah “kemuncak sikap tidak bertanggungjawab”.
“Akhirnya, Menteri Kewangan terpaksa bersusah payah mencari jawapan. Hari yang gelap buat Malaysia apabila Perdana Menteri sendiri tidak menghormati Parlimen,” katanya.
Ramai kini bertanya apakah gunanya diadakan sidang khas jika soalan penting tidak dapat dijawab, katanya.
“Jelasnya kerajaan tidak bersedia untuk perbahasan apatah lagi untuk undian. Ini bukan sahaja membuang masa, malah menimbulkan persoalan mengenai keabsahan kerajaan.”
Zaid turut menzahirkan kekecewaan dengan tingkah laku Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dengan berkata, tingkah laku sedemikian tidak wajar bagi seseorang yang terkenal dengan perjuangannya untuk demokrasi, tadbir urus baik dan kedaulatan undang-undang.
“Sekalipun beliau tidak mampu bersikap saksama, paling tidak, beliau harus menunjukkan profesionalisme.
“Beliau sepatutnya mengarahkan Perdana Menteri menjawab soalan, terutamanya mengenai pembatalan Ordinan Darurat,” kata Zaid.
Tidak hairanlah Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bertanya kepada Azhar, sama ada beliau “dikawal oleh kerajaan” dan bekas menteri Rafidah Aziz menyifatkan sidang itu “tahap rendah yang baharu” dalam demokrasi berparlimen, katanya.
Beliau menggesa Umno supaya memperhatikan situasi ini dan menuntut agar ahlinya meninggalkan Jemaah Menteri.
Jika parti ini terus terkait dengan kerajaan, ia akan menanggung akibat pada pilihan raya umum akan datang, katanya.
“Berapa lama lagi menteri-menteri ini akan tetap bertahan dengan kerajaan dan mempertahankan PM? Umno mesti sedar bahawa selagi ia ada wakil dalam kerajaan, ia tidak boleh berkata ia tidak terlibat dengan apa yang berlaku sekarang,” tambahnya.