
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Arsad Kamaruddin berkata, suspek berusia 60 tahun itu ditahan di kawasan semak di Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya, Serendah, pada 10.50 pagi dan akan direman esok.
Beliau berkata, kejadian tidak berperikemanusian itu disedari seorang wanita yang juga pemilik kambing berkenaan kira-kira 1.30 tengah hari semalam selepas mendengar kambingnya yang berada di belakang rumah mengeluarkan bunyi “pelik”.
“Beliau kemudian keluar untuk memeriksa keadaan haiwan peliharaannya itu dan mendapati seorang lelaki yang dikenalinya bangun dari sebelah kambingnya dalam keadaan separuh bogel sebelum lelaki itu melarikan diri.
“Wanita berusia 45 tahun itu kemudian memeriksa keadaan kambing berkenaan dan didapati haiwan itu sudah mati,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Serendah pada 6.24 petang semalam.
“Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor berjaya menahan suspek hari ini. Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah,” katanya.
Arsad berkata, sepasukan anggota Unit Forensik Polis Selangor dan Jabatan Veterinar Kuala Kubu Bharu turut ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Kambing yang mati itu dihantar ke makmal Jabatan Veterinar untuk analisis dan bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, suspek akan direman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 289 kanun sama.