
Dalam satu kenyataan, beliau berkata siasatan bermula jam 11.45 malam dan berakhir empat jam selepas itu.
“Saya berada di MAEPS Serdang sehingga jam 3.50 pagi untuk memberi nasihat guaman kepada doktor yang disiasat dan untuk memastikan hak asasi mereka tidak dinafikan.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat menemani mereka ketika keterangan diambil kerana ia diambil di dalam pusat kuarantin yang mana saya tidak mempunyai kebenaran untuk masuk,” katanya.
Beliau juga mempertikaikan tindakan pihak polis yang melakukan soal siasat sewaktu petugas barisan hadapan sedang bertugas tambahan ia dilakukan pada awal pagi.
“Saya memandang perkara ini sebagai satu intimidasi yang serius daripada pihak Kementerian Kesihatan dan polis,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok di seluruh negara pada Isnin lalu tidak akan dikenakan tindakan disiplin.
Katanya, doktor kontrak berkenaan berhak menyuarakan pandangan masing-masing sambil memaklumkan pihaknya menghormati kumpulan berkenaan.
Mengulas lanjut, Asheeq berkata, siasatan berkenaan berkait dengan kehadiran media di pusat kuarantin berkenaan yang didakwa hadir tanpa kebenaran pihak atasan.
“Saya dimaklumkan siasatan dilakukan oleh kerana laporan polis yang dibuat oleh pegawai Kementerian Kesihatan iaitu Pengarah PKRC MAEPS (Dr Shahabuddin Ibrahim) berkenaan kehadiran media.
“Walaupun Menteri Kesihatan di sidang Parlimen berjanji tiada tindakan yang akan dikenakan kepada peserta hartal, tindakan Pengarah PKRC MAEPS, seorang pegawai KKM yang membuat laporan polis tersebut adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan,” tegasnya.
Katanya, siasatan polis akan bersambung pada hari ini bagi mengambil keterangan petugas yang tidak bertugas pada malam semalam.
“Saya juga dimaklumkan oleh beberapa doktor dari hospital lain bahawa segelintir mereka menerima panggilan daripada polis untuk siasatan.
“Semua ini adalah usaha intimidasi untuk menakutkan doktor tersebut yang menyertai hartal,” katanya.
Justeru, beliau menggesa KKM segera mengarahkan Pengarah PKRC MAEPS untuk menarik semula laporan polis berkenaan jika benar kementerian itu cakna terhadap kebajikan doktor terbabit.
“Kementerian Dalam Negeri dan polis juga harus menghentikan segala siasatan yang telah dan akan dijalankan ke atas peserta #HartalDoktorKontrak.
“Menteri Kesihatan dan Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainudin) harus memberikan komitmen mereka di Dewan Rakyat hari ini bahawa segala siasatan terhadap doktor berkenaan di seluruh negara akan diberhentikan segera,” katanya.
Hartal doktor kontrak diadakan serentak di seluruh negara pada jam 11 pagi Isnin lalu di lebih 20 hospital awam. Mereka menuntut supaya diserap kepada jawatan tetap selepas tamat tempoh ‘housemanship’ dan faedah-faedah lain yang setara dengan doktor berjawatan tetap.