Tiada tindakan terhadap doktor mogok, kata menteri

Tiada tindakan terhadap doktor mogok, kata menteri

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi jaminan itu sambil memaklumkan pihaknya menghormati kumpulan tersebut dalam menyuarakan pandangan mereka.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok semalam tidak akan dikenakan tindakan disiplin.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, memberi jaminan itu sambil memaklumkan pihaknya menghormati kumpulan tersebut dalam menyuarakan pandangan mereka.

“Tidak ada apa-apa tindakan kepada mereka walaupun mereka keluar (mogok) semalam,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) sama ada Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan terhadap doktor yang terlibat dalam hartal.

Katanya, kerajaan telah membuat keputusan jangka pendek dan panjang dalam menyelesaikan isu doktor kontrak termasuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dua tahun lagi, serta menaikkan gred mereka setara dengan kakitangan tetap.

Katanya, dalam tempoh itu kerajaan akan membawa isu doktor kontrak ke Parlimen bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang untuk pindaan akta, termasuk Akta Pencen 1971 bagi membolehkan doktor kontrak diserap ke jawatan tetap.

“Pertama sekali doktor kontrak ini perlu menghabiskan khidmat wajib empat tahun. Sementara itu kita akan laksanakan tanggungjawab di Parlimen, ubah Akta Pencen 1971 supaya sama-sama bantu doktor ini.

“Keputusan yang dibuat sebelum ini penyelesaian sementara. Dalam masa sama kita akan bawa ke Parlimen untuk dipinda akta dan kita mohon waktu itu semua Ahli Parlimen sokong,” katanya sambil memaklumkan Akta JPA juga perlu dipinda di Dewan Rakyat.

Beliau turut meminta semua doktor yang merawat Covid-19 termasuk berstatus kontrak untuk terus melaksanakan tugas di samping kerajaan akan terus membantu menyelesaikan masalah mereka.

Semalam sekumpulan doktor kontrak melakukan mogok diketuai Gerakan Hartal Doktor Kontrak di seluruh hospital bemula jam 11 pagi.

Antara tuntutan mereka adalah untuk diberikan laluan kerjaya adil dan faedah sama seperti doktor berjawatan tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.