Mayat lelaki pakai gelang kuarantin, negatif Covid-19

Mayat lelaki pakai gelang kuarantin, negatif Covid-19

Lelaki berusia 36 tahun itu sepatutnya memotong gelang kuarantin tersebut pada 18 Julai lepas, namun gagal dihubungi.

Mayat lelaki itu terapung kira-kira 50m dari darat dan dipercayai berada dalam air lebih dua hari. (Gambar JBPM)
KUALA TERENGGANU:
Mayat lelaki dengan tangan memakai gelang kuarantin berwarna putih yang ditemui terapung di Sungai Terengganu, berdekatan Kampung Banggol Cempedak, petang semalam disahkan negatif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Abdul Rahim Md Din berkata lelaki berusia 36 tahun itu sepatutnya memotong gelang kuarantin tersebut pada 18 Julai lepas, namun gagal dihubungi pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu.

“Susulan penemuan mayat berkenaan yang menjadi tular di media sosial, waris mangsa telah tampil ke Balai Polis Cabang Tiga pada pukul 12 tengah malam tadi bagi membuat laporan kehilangan ahli keluarga.

Identiti lelaki terbabit telah disahkan oleh kakaknya yang berusia 38 tahun hasil daripada pengecaman fizikal dilakukan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.

Abdul Rahim memberitahu kali terakhir mangsa dihubungi kakaknya pada Jumaat lepas sebelum mereka terputus hubungan.

Mangsa tinggal berseorangan di Kampung Batu Hampar, Manir di sini sementara kakaknya menetap di tempat lain, katanya.

Abdul Rahim berkata hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat telah dituntut oleh ahli keluarga kira-kira pukul 3 petang tadi untuk proses pengebumian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.