Bekas ketua jabatan didakwa 20 tuduhan rasuah RM141,030

Bekas ketua jabatan didakwa 20 tuduhan rasuah RM141,030

Yekson Alef Alirman, 42, berdepan 20 dakwaan menerima rasuah berjumlah RM141,030 antara 2016 hingga 2019.

Tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM141,030 sebagai upah untuk memberikan kontrak pembekalan alatan “jig” kepada syarikat Maqna Glokal Ventures oleh syarikat Nisha Precision Technologies Sdn Bhd.
PETALING JAYA:
Bekas ketua jabatan projek kejuruteraan sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM141,030 antara 2016 hingga 2019.

Bagaimanapun, tertuduh, Yekson Alef Alirman, 42, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan selepas ia dibacakan di hadapan hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM141,030 daripada individu sama sebagai upah untuk memberikan kontrak pembekalan alatan “jig” kepada syarikat Maqna Glokal Ventures oleh syarikat Nisha Precision Technologies Sdn Bhd.

Kesalahan itu dilakukan antara 2 November 2016 hingga 18 Januari 2019 di dua bank di Jalan Sungai Chua, Kajang serta Bandar Baru Bangi, menurut laporan Harian Metro.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Gan Peng Kun yang mengendalikan pendakwaan, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Manakala peguam yang mewakili tertuduh Muhammad Nor Izzat Nordin memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan terbabit dengan alasan tertuduh tidak bekerja dan perlu menyara keluarga.

Nor Izzat turut mengemukakan alasan bahawa anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang SPRM melakukan siasatan.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bersama syarat tambahan dan kes akan disebut semula pada 26 Ogos nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.