Lagi peserta konvoi ‘Bendera Hitam’ dipanggil polis

Lagi peserta konvoi ‘Bendera Hitam’ dipanggil polis

Kira-kira 30 orang yang menyertai bantahan pada Sabtu lalu itu dipanggil polis setakat ini.

Sekretariat Solidariti Rakyat menjangkakan lebih 100 kenderaan menyertai konvoi ‘Bendera Hitam’ di seluruh negara Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR:
Lapan lagi individu dipanggil polis kerana mengambil bahagian dalam konvoi kenderaan #Lawan atau “Bendera Hitam” Sabtu lalu bagi membantah kerajaan.

Numan Afif dari Sekretariat Solidariti Rakyat, kumpulan yang menganjurkan bantahan itu berkata, beliau antara empat orang yang disoal siasat selama tiga jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Beberapa lagi peserta turut dipanggil polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Kajang untuk memberi kenyataan berhubung konvoi itu hari ini. Keseluruhannya, kira-kira 30 orang yang menyertai bantahan itu dipanggil setakat ini.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Numan berkata, ibu bapa beberapa peserta turut dipanggil kerana mereka adalah pemilik kenderaan yang dipandu ketika menyertai bantahan Sabtu lalu.

Beliau mempersoalkan tujuan siasatan dan mendakwa ia “taktik intimidasi yang jelas”.

“Ini tak masuk akal. Kami berada di sini selama tiga jam dan menteri undang-undang baru kata Ordinan Darurat (dibatalkan) sejak 21 Julai, jadi apa yang kami buat di sini?” soalnya.

Numan berkata, ada beberapa jenayah lain yang boleh disiasat oleh penjawat awam.

“Ini membuang masa kami dan membazir sumber awam. Polis mempunyai perkara lebih mendesak untuk disiasat.”

Dianggarkan lebih 100 kenderaan menyertai konvoi di seluruh negara dari 11 pagi hingga 5 petang Sabtu lalu.

Di Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya 10 kereta dilihat mengibarkan bendera hitam dan memandu dalam konvoi pada pagi itu. Mereka bermula dari stesen LRT Bangsar menuju Dataran Merdeka, sebelum kembali ke stesen LRT sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.