
Menteri Penyelaras PPN Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya telah membentangkan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya nilai ambang kes baharu itu dinilai semula kepada nilai keseriusan kes mengikut kategori ataupun kes kematian.
“PPN ini dinamik, sekiranya kes telah menurun dan hanya kes bergejala ringan, jumlah kes baharu ini bukan lagi nilai ambang yang sesuai, kita akan lihat kapasiti kes di ICU (Unit Rawatan Rapi) dan kadar kematian.
“Perkara ini sedang dibincangkan dengan KKM (Kementerian Kesihatan) bagi menilai semula kepada nilai ambang lebih sesuai terutamanya di fasa ketiga apabila kita berjaya memberikan vaksin kepada 40% penduduk dewasa negara,” katanya dalam rancangan Agenda Awani di sini malam tadi.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan perubahan itu dibuat berdasarkan contoh di negara lain seperti di United Kingdom yang merekodkan penurunan secara mendadak kes Covid-19 bergejala dan kemasukan ke hospital selepas lebih 40% penduduknya lengkap divaksinasi.
“Oleh itu, apabila 40% rakyat kita mendapat vaksinasi penuh, kita akan minta Majlis Pemulihan Negara (MPN) pertimbangkan perkara ini.
“Bagaimanapun pertimbangannya tertakluk kepada pakar berkaitan,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul dalam kenyataannya semalam berkata MPN bersetuju menjemput parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang serta wakil dari kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggotanya.
Selain itu katanya MPN menjemput pakar pelbagai latar belakang termasuk ahli perniagaan Tony Fernandes, penasihat Star Media Group Wong Chun Wai dan pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata penyertaan ahli pelbagai latar belakang akan membantu MPN membuat keputusan paling tepat dan akan memberi impak positif dari segi perbincangan serta idea.
Katanya ia juga boleh menjamin ketelusan serta memastikan proses semak dan imbang dapat dilakukan sepanjang masa.