
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), yang pernah menggesa MPN dibubarkan, berkata individu yang disebut dalam laporan itu mesti disiasat.
Sebarang cakap-cakap mengenai penggabungan akan kelihatan seperti ‘cubaan menyembunyikan sesuatu secara terang-terangan’, menurut pengerusinya, Sharifah Munirah Alatas.
“Kita jangan main-main dengan wang pembayar cukai. Ini tadbir urus yang tidak baik dan korupsi,” katanya, merujuk kepada persoalan tentang penggunaan RM3.38 juta geran kerajaan yang diterima MPN pada 2022.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Nov 2024 melaporkan beberapa isu berkaitan MPN, termasuk pembayaran elaun sejumlah RM207,000 tanpa kelulusan pada 2022 dan 2023.
“Mengapa cakap tentang penggabungan sedangkan isu ini belum selesai?” soal Sharifah.
MPN dikawal selia Jabatan Perdana Menteri.
PAC pada 26 Feb mencadangkan MPN digabungkan dengan badan pemikir lain, seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), bagi menyelaras fungsinya sebagai badan pemikir kepada kerajaan merangkumi pelbagai bidang.
Munirah soal sama ada ISIS atau mana-mana badan pemikir terkemuka lain bersedia untuk bergabung dengan MPN, memandangkan keadaan yang dihadapinya.
“Soalan ini penting untuk ditangani,” katanya.

Azmi Hassan, seorang felo MPN, berkata tidak ada justifikasi untuk penggabungan itu dan berpandangan MPN harus kekal sebagai entiti bebas.
Beliau berkata syor PAC itu berkait isu yang timbul pada masa lalu, dan penggabungan tidak akan selesai masalah yang dibangkitkan.
“Dalam kes ini, isunya bukan dengan organisasi tetapi segelintir individu dalam organisasi itu,” katanya.