Video tular dakwa kerajaan benar rentas sempadan palsu, kata KKM

Video tular dakwa kerajaan benar rentas sempadan palsu, kata KKM

Video berdurasi 20 saat itu disunting bagi menggambarkan kerajaan memberi kebenaran sedemikian buat individu yang telah lengkap vaksinasi.

Video mendakwa kerajaan memberi kebenaran rentas daerah dan negeri kepada individu penerima dua dos adalah tidak benar.
PETALING JAYA:
Sebuah video yang tersebar baru-baru ini mendakwa kerajaan memberi kebenaran rentas daerah dan negeri kepada individu yang lengkap vaksinasi telah disunting untuk mengelirukan orang ramai, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut kenyataan KKM, video berdurasi 20 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu dipetik daripada siaran berita arus perdana bertarikh 1 April yang berdurasi selama satu minit.

“Masyarakat disaran untuk sentiasa membuat semakan di media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat terkini yang sahih,” kata kenyataan itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa faktor masih diteliti sebelum kelonggaran diberikan kepada individu yang sudah memperoleh suntikan lengkap dua dos vaksin.

Ismail berkata, ini termasuk melihat model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains, selain meneliti kebimbangan diutarakan pelbagai pakar kesihatan.

Katanya, sebarang keputusan muktamad oleh Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berpandukan kepada penilaian secara menyeluruh bagi mengelak risiko penularan jangkitan.

“Kita ambil maklum semua perkara termasuk kebimbangan pakar seperti dalam laporan muka depan akhbar hari ini. Ada pihak yang bimbang dan minta supaya terus kuat kuasakan larangan rentas negeri serta daerah.

“Tetapi berkemungkinan beberapa pengecualian berupaya diberikan. Contohnya pasangan jarak jauh yang masing-masing sudah lengkap suntikan imunisasi, maka kita boleh benarkan mereka rentas daerah dan negeri untuk berjumpa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.