TPM bantu 8 beradik yatim piatu selepas ibu bapa maut akibat Covid-19

TPM bantu 8 beradik yatim piatu selepas ibu bapa maut akibat Covid-19

Ismail Sabri Yaakob turut meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyenaraikan jumlah anak-anak yang kematian kedua ibu bapa atau seorang daripadanya akibat virus Covid-19 untuk diberikan bantuan.

Ismail Sabri Yaakob minta Kementerian Kesihatan senaraikan kes-kes yang melibatkan kematian kedua ibu bapa atau salah seorangnya akibat Covid-19 untuk dibantu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lapan beradik berusia empat hingga 19 tahun menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia dalam tempoh tiga hari akibat Covid-19.

Kisah lapan beradik itu, baru-baru ini tular di media sosial mendapat perhatian ramai, dimaklumkan Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, yang juga kakak sulung kini mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjaga tujuh adiknya yang lain.

Difahamkan, bapa mereka, Benyajeed Bernie disahkan meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu, Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian iaitu pada 18 Julai.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyenaraikan jumlah anak-anak yang kematian kedua ibu bapa atau seorang daripadanya akibat virus Covid-19.

“Saya telah minta Menteri Kesihatan untuk mendapatkan kes-kes yang melibatkan kematian kedua ibu bapa atau salah seorangnya (akibat virus Covid-19) yang menyebabkan akan berlaku kesusahan kepada anak-anak mereka kerana punca pendapatan hilang,”katanya.

Memetik laporan Bernama, Ismail Sabri berkata beberapa pihak bertanggungjawab termasuk Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memberi bantuan sepatutnya kepada lapan beradik itu.

Selain itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian Pertahanan juga bersetuju untuk mengambil lapan beradik itu sebagai anak angkat kepada Boustead Holdings Berhad (Boustead) yang merupakan anak syarikat di bawah kementerian itu.

Beliau berkata, anak kedua yang berusia 18 tahun, daripada lapan beradik itu yang kini bekerja di sebuah kilang di situ turut ditawarkan untuk bekerja di syarikat Boustead.

Dalam pada itu, Nazurah ketika ditemui pemberita meluahkan rasa lega dengan semua bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka adik-beradik terutamanya dari segi meneruskan pendidikan.

Beliau yang kelihatan tenang ketika ditemubual media berharap adik-adiknya tidak terumbang-ambing dalam pendidikan.

“Mula-mula rasa sedih (kehilangan kedua ibu bapa) tapi saya nampak adik-adik juga menangis, jadi saya tidak akan menangis sebab saya kena kuat jadi tonggak mereka.

“Kehilangan orang tersayang itu perkara biasa. Jangan terlalu sedih dan layan perasaan sampai kesihatan terjejas. Kita kena kuatkan semangat untuk teruskan hidup,” katanya.

Nazurah yang merupakan penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Mersing, Johor kini dalam tempoh cuti semester.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengambil inisiatif menawarkan pertukaran kampus penuntut itu dari Politeknik Mersing ke Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak yang lebih dekat dengan rumahnya.

KPT, melalui agensi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM500 untuk setiap lapan beradik itu dengan jumlah keseluruhan RM4,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.