Siasat jika wujud elemen jual vaksin, gesa MMA berkait isu picagari kosong

Siasat jika wujud elemen jual vaksin, gesa MMA berkait isu picagari kosong

Presiden MMA, M Subramaniam berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan keras terhadap individu terbabit, jika dakwaan itu didapati benar.

Laporan demi laporan berhubung dakwaan penerima vaksin disuntik picagari kosong akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap program vaksinasi.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta pihak berkuasa menyiasat jika wujud elemen sindiket menjual vaksin kepada pihak luar, selepas dakwaan demi dakwan berhubung penerima divaksin dengan picagari kosong.

Presidennya, M Subramaniam menyifatkan dakwaan penerima vaksin disuntik picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) tidak masuk akal dan tidak boleh diterima sama sekali.

Oleh itu, beliau mahu tindakan keras dikenakan terhadap individu yang didapati terbabit memberikan vaksin kosong kepada penerima bagi mengelakkan rakyat hilang kepercayaan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kita tak pasti dakwaan itu benar atau tidak, atau hanya khabar angin. Jika betul, mana perginya vaksin dalam picagari itu atau adakah ia dijual kepada pihak lain? Ia satu tindakan tidak boleh diterima.

“Adakah kakitangan itu terlibat? Dijual kepada siapa? Siapa lagi yang terlibat? Sesiapa sahaja (yang terlibat) mesti dikenakan tindakan paling berat jika perlu,” katanya kepada FMT.

Semalam, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dilaporkan berkata, tindakan tatatertib diambil terhadap seorang petugas kesihatan di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah kerana tidak menyuntik vaksin selepas memasukkan jarum picagari ke lengan penerima pada 17 Julai lalu.

Jika ada petugas kesihatan yang didapati bersalah, CITF tidak akan teragak-agak menamatkan perkhidmatan petugas terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Adham Baba pula dilaporkan berkata, mana-mana individu yang dapat membuktikan mereka diberikan suntikan picagari kosong akan dipanggil untuk menerima suntikan dos baharu.

Ditanya adakah wajar penerima yang mendakwa disuntik picagari kosong menjalani ujian bagi mengesan kehadiran vaksin dalam badan mereka, Subramaniam berkata, ia memerlukan masa untuk menguji keberkesanan vaksin.

“Agak rumit untuk tentukan kadar imuniti kerana mereka perlu menjalani ujian, sebelum dan selepas disuntik, jika mahu diuji,” katanya yang mendesak semua pihak terus giat membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi memandangkan kes harian Covid-19 dan kadar kematian masih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.