Disyaki ceroboh hutan simpan, ADUN Selangor, 28 lagi dibebas

Disyaki ceroboh hutan simpan, ADUN Selangor, 28 lagi dibebas

Polis menyiasat 29 individu itu atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran, manakala dakwaan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran disiasat Jabatan Perhutanan Pahang.

ADUN dari Selangor bersama 28 individu lain dibebaskan kira-kira 3 pagi tadi selepas polis mengambil keterangan mereka berhubung kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seramai 29 orang, termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Selangor yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Ulu Jelai di Lipis semalam dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor berkata, mereka dibebaskan kira-kira 3 pagi tadi selepas diambil keterangan berhubung kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

“Bagi pihak polis, siasatan dilakukan kerana kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran, manakala dakwaan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran disiasat Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP),” katanya dipetik Bernama.

Terdahulu, JPNP mengesahkan semua suspek yang beralamat di Kuala Lumpur dan Selangor itu ditahan pada 8 pagi semalam di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Lipis.

Media melaporkan ADUN Teratai, Bryan Lai Wai Chong bersama 28 individu itu didakwa memasuki hutan simpan itu menggunakan 11 kenderaan pacuan empat roda tanpa kebenaran Sabtu lepas.

Kumpulan itu termasuk tujuh wanita difahamkan memasuki hutan itu atas alasan memberi bantuan makanan kepada Orang Asli, sedangkan pemeriksaan JPNP dan Pusat Kawalan Operasi Bencana mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi tujuan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.