Bentang pembaharuan Peraturan Tetap DUN yang dipersetujui, MB Perak diberitahu

Bentang pembaharuan Peraturan Tetap DUN yang dipersetujui, MB Perak diberitahu

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkata Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menyokong pembaharuan itu ketika beliau menjadi pembangkang pada 2018.

Ngeh Koo Ham berkata Saarani Mohamad sebelum ini sudah bersetuju dengan pembaharuan termasuk mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang di DUN Perak.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menggesa Menteri Besar Perak Saarani Mohamad membentangkan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan yang akan berlangsung 25 Ogos depan.

Bekas speaker DUN Perak itu mengingatkan bahawa beliau mahu memperkenalkan 10 pembaharuan untuk DUN Perak pada 2018 dan kemudian membentuk satu jawatankuasa bagi mengkaji cadangan penambahbaikan berkenaan.

Ngeh menyatakan bahawa Saarani sudah bersetuju dengan cadangan pembaharuan ketika beliau menjadi ahli yang dipilih mewakili pembangkang dalam jawatankuasa itu.

Menurut Ngeh, pembaharuan dan pindaan tersebut bertujuan menjadikan Dewan Negeri satu badan yang efektif dalam peranannya sebagai penyemak dan pengimbang kepada eksekutif untuk meminimumkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sering berlaku.

“Antara cadangan pembaharuan dan pindaan tersebut ialah kedudukan ketua pembangkang DUN Perak diiktiraf secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, turut diusulkan adalah tiga jawatankuasa pilihan dibentuk untuk memantau bahagian-bahagian kerajaan yang rentan kepada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ngeh turut mendakwa bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu telah menangguhkan atau enggan mengemukakan cadangan pindaan tersebut untuk diluluskan oleh DUN Perak kerana takut dengan amalan semak dan imbang akan dilaksanakan ketika pentadbirannya.

Beliau menjelaskan bahawa itu adalah antara salah satu sebab mengapa wakil rakyat DUN Perak telah menyingkirkannya sebagai menteri besar tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.