Agong dan Permaisuri nasihat rakyat terus cekal, bersabar rai Aidiladha

Agong dan Permaisuri nasihat rakyat terus cekal, bersabar rai Aidiladha

Baginda berdua menyeru umat Islam tidak alpa dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi semua perintah dan SOP dalam meraikan Aidiladha.

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri menzahirkan rasa dukacita kerana ini kali kedua umat Islam tidak dapat meraikan hari penuh bermakna ini seperti kelaziman akibat pandemik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berharap umat Islam terus cekal, bersabar dan bersyukur kerana masih diberikan kesihatan serta kekuatan menyambut Aidiladha dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta.

Dalam kenyataan menerusi Facebook Istana Negara, Agong dan Permaisuri mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di dalam mahupun luar negara.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita kerana buat kedua kalinya umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan hari yang bermakna ini seperti kelazimannya akibat pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan di atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat lelah merawat pesakit Covid-19 dan dalam usaha memerangi pandemik ini sejak tahun lalu,” menurut kenyataan itu.

Justeru, baginda berdua menyeru seluruh umat Islam di negara ini tidak alpa dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi semua perintah dan SOP dalam meraikan perayaan itu.

Baginda berdua turut mengambil kesempatan menyeru umat Islam mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah, dijauhi sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.