2 lelaki bawa 475kg ketum guna surat MITI palsu

2 lelaki bawa 475kg ketum guna surat MITI palsu

Penahanan membabitkan lelaki berusia 47 dan 48 tahun itu dilakukan selepas PPM melakukan risikan selama sebulan.

Pasukan Polis Marin (PPM) menunjukkan daun ketum bernilai RM28,500 yang berjaya dirampas. (Gambar Pasukan Polis Marin)
PETALING JAYA:
Percubaan dua lelaki merentas negeri dengan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) palsu untuk membawa daun ketum seberat 475kg digagalkan pihak berkuasa di Teluk Intan, Perak, semalam.

Lori mereka yang membawa muatan daun ketum bernilai RM28,500 itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) pada 1.45 pagi di Batu 5 Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam.

Menurut Pemangku Komander PPM Wilayah Satu Shoppri Saad, penahanan lelaki berusia 47 dan 48 tahun itu dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan selama sebulan.

Katanya, mereka yang membawa 95 bungkus daun ketum itu melakukan perjalanan dari Seberang Perak ke Lembah Klang.

“Hasil pemeriksaan menemui 475kg daun ketum dibawa dalam 95 bungkusan plastik hitam.

“Ia dipercayai mendapat permintaan tinggi di sekitar Lembah Klang dan mereka dikatakan ingin mengambil peluang mengaut keuntungan dengan melakukannya ketika PKP,” katanya dalam menurut laporan Berita Harian.

Shoppri berkata, suspek dan barang rampasan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua rampasan termasuk lori yang digunakan itu dianggarkan bernilai RM60,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (no 3) 2020,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.