
Dalam catatan yang dimuatnaik di laman Facebooknya, Azimi berkata, masyarakat bagaikan tidak serik mahu juga merentas negeri walaupun peningkatan kes positif dan angka kematian meningkat setiap hari.
Ia susulan laporan kesesakan trafik yang berlaku di Plaza Tol Gombak arah ke Barat (KL) dan arah ke Timur (Kuantan), sejak semalam.
“Tidak serikkah kalian dengan sejarah musim Aidilfitri yang lalu? Dipesan-pesan untuk tangguh rentas negeri bagi mengelakkan penularan lagi besar tetapi tidak berbekas. Kerasnya hati kalian. Akhirnya kes mencanak naik.
“Sambutan Aidiladha seolah-olah mengundang situasi yang sama kerana masih berduyun-duyun untuk rentas negeri pulang ke kampung,” tulis Azimi lagi.
Melihat sikap segelintir masyarakat yang tidak mengendahkan risiko jangkitan, beliau mengingat bahawa kealpaan itu mampu mengundang penularan wabak ke kawasan baru.
“Sungguh hati kalian tidak berbekas dengan angka kes harian atau angka kematian yang meningkat setiap hari. Sanggup rentas negeri keluar dari kawasan wabak dan masuk kawasan kurang wabak. Membawa virus bersama untuk disebarkan di kawasan baru.
“Apa kalian fikir kalian atau orang lain kebal dari jangkitan Covid-19, kalian lupa ada kumpulan yang perlu dilindungi seperti warga emas dan kanak-kanak kecil yang mungkin akan mendapat komplikasi serius,” katanya.
Beliau berkata, apa yang lebih dikesali apabila Terengganu yang dalam masa tiga minggu angka harian kes positif Covid-19 kekal dua digit sahaja, mula mencetuskan kluster baharu dalam masa dua minggu gara-gara rentas negeri Aidilfitri lalu.
“Ada kluster telah menular ke beberapa daerah. Kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini?.
“Ada kluster buat majlis tahlil tiga malam diundang bersama ustaz dan pelajar tahfiz , dan akhirnya menjangkiti ramai pelajar tahfiz serta beberapa orang ustaz. Kesalnya kami dan hati kami bagai disiat-siat melihat perkara itu masih berlaku,” ujarnya.
Tegasnya, ini bukan masa untuk menunding jari salahkan mana-mana pihak, tetapi elakkan daripada merentas negeri bagi mengawal penularan wabak Covid-19 itulah yang sebaiknya.
“Kalau kita masih berkeras nak rentas negeri hanya untuk berhari raya dan akhirnya kita merupakan indeks atau punca kepada kluster baru, adakah kita masih nak salahkan orang lain atau salahkan pihak lain,” katanya.