Usah degil pindah, polis beritahu mangsa banjir

Usah degil pindah, polis beritahu mangsa banjir

Penduduk tidak perlu risau meninggalkan rumah kerana polis melakukan rondaan secara berkala.

Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Penduduk kampung terjejas akibat banjir diminta tidak berdegil untuk berpindah bagi mengelakkan risiko keselamatan, kata Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata, penduduk tidak perlu risau meninggalkan rumah mereka kerana polis melakukan rondaan secara berkala.

“Apa yang kita lihat sekarang ini masih ramai yang berdegil dan enggan berpindah sehingga berlaku perkara tidak diingini termasuk kes seorang bayi berusia setahun yang lemas di rumahnya yang dinaiki air banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung.

Tengku Anis berkenan melawat menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 63 ketua isi rumah bersama 225 mangsa banjir.

Yusoff berkata, setakat ini banjir gelombang pertama telah meragut lima nyawa.

“Apa yang membimbangkan selepas ini dilaporkan akan ada beberapa siri lagi gelombang banjir yang kita tidak dapat menjangkakan seteruk mana keadaannya nanti,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan jalan di sekitar Tumpat, beliau berkata setakat ini empat jalan yang dikenal pasti mengalami kerosakan teruk ialah Jalan Jubakar Pantai-Taman Seri Bayu; Jalan Sungai Tapang-Jalan Jubakar Pantai; Jalan Utama Kampung Tujuh; dan Jalan Kampung Baru Nelayan.

Pada 29 Nov lalu jalan negeri dekat Taman Sri Bayu yang menghubungkan Tumpat dengan Pengkalan Kubor terputus hubungan akibat banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.