Benarkan pemerhati pilihan raya masuk Sarawak, SPR diberitahu

Benarkan pemerhati pilihan raya masuk Sarawak, SPR diberitahu

Bersih Sarawak berkata bilangan pemerhati di negeri itu tidak mencukupi untuk memantau proses demokrasi yang dijalankan.

Kerajaan sepatutnya menggalakkan penyertaan orang awam bagi memastikan pilihan raya lebih adil dan telus, kata Pengerusi Bersih Sarawak Ann Teo.
KUCHING:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjelaskan peraturannya berkaitan pemerhati pilihan raya dan memberi jaminan bahawa mereka akan dibenarkan datang ke Sarawak untuk pilihan raya negeri (PRN) 18 Dis ini.

Pengerusi Bersih Sarawak Ann Teo berkata, kekurangan pemerhati untuk PRN kali ini “sangat mengecewakan”, dengan menambah bahawa mereka diperlukan untuk memerhati perjalanan proses demokrasi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bagaimana syarat untuk mendaftar melalui laman EnterSarawak boleh disalahgunakan untuk menghalang pemerhati pilihan raya daripada masuk ke negeri itu.

“Melihatkan kita sekarang berada dalam Fasa 3 atau 4, tiada keperluan untuk orang bukan Sarawak menggunakan EnterSarawak. Pemerhati pilihan raya sepatutnya dibenarkan masuk ke negeri ini dengan bebas.

“Namun begitu, saya berharap dan percaya kerajaan negeri tidak akan menyalahgunakan EnterSarawak untuk menghalang rakyat daripada berkhidmat sebagai pemerhati,” katanya kepada FMT.

Katanya, kerajaan sebaliknya perlu menggalakkan penyertaan yang lebih besar untuk memastikan pilihan raya yang adil.

SPR semalam dilaporkan melarang perjalanan ke Sarawak dari negeri lain untuk tujuan berkempen.

Hanya lima pemimpin tertinggi daripada parti yang bertanding akan dibenarkan masuk ke negeri itu sepanjang tempoh berkempen. Ceramah hanya dibenarkan di 64 kawasan yang tidak mempunyai liputan internet.

Teo berkata, kebenaran menyampaikan ceramah adalah satu petanda yang baik dan pengundi akan dapat membuat keputusan yang lebih tepat mengenai siapa yang akan mereka undi kerana maklumat daripada semua pihak akan disampaikan dengan betul.

“Membenarkan calon mendekati rakyat adalah satu langkah positif. Bagaimanapun SOP masih perlu dipatuhi untuk keselamatan semua orang. Pihak berkuasa harus turun padang untuk memastikan semua SOP dipatuhi.”

Teo menambah, akses sama rata kepada media perlu diberikan kepada semua calon terutama yang berada di kawasan bandar.

“Menurut pemerhati pilihan raya di Melaka, calon yang menggunakan media sosial didapati tidak mendapat tarikan dalam kalangan pengundi. Kita tidak mahu perkara ini berlaku di Sarawak. Itu sebabnya liputan yang sama rata adalah penting.

“SPR perlu menggunakan kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan kerjasama semua media,” katanya.

Teo juga menyentuh hak pengundi tidak hadir. Beliau berkata, SPR perlu mengemukakan pendekatan lain kepada pengundi yang tinggal di negeri selain tempat mereka didaftarkan dan sudah tiba masanya suruhanjaya itu “menjadi kreatif” bagi memastikan semua rakyat Malaysia boleh mengundi di mana-mana negeri, terutamanya semasa pandemik.

“Ini adalah sesuatu yang kami harapkan SPR akan buat lebih baik, maju ke depan untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.