Takut video lucah tersebar, lelaki rugi RM10,000 diperas ugut

Takut video lucah tersebar, lelaki rugi RM10,000 diperas ugut

Dipercayai video berkenaan 'dicuri' daripada telefon bimbit mangsa selepas dia diminta memuat turun sebuah aplikasi menggunakan kod jemputan, kata polis.

Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan modus operandi penjenayah yang melakukan pemerasan wang menggunakan aplikasi telefon bimbit.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kerugian RM10,000 selepas menjadi mangsa pemerasan seorang wanita yang mengugut untuk menyebarkan videonya beronani.

Mangsa berusia 23 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita pada 12.45 tengah malam Selasa lalu melalui aplikasi media sosial Tantan dan berkongsi ID aplikasi LINE, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar.

Anuar berkata, semasa berbual dengan suspek di aplikasi itu, dia diperkenalkan dengan rakan suspek dan diminta memuat turun satu aplikasi menggunakan kod jemputan.

Selepas berbuat demikian, mangsa mendapati telefon bimbitnya tidak berfungsi.

“Pada 1.30 tengah hari keesokan harinya, mangsa menerima video dirinya sedang beronani yang dihantar oleh suspek melalui aplikasi LINE,” kata Anuar, sambil menambah, dipercayai video berkenaan diperolehi suspek daripada memori telefon bimbit mangsa.

Mangsa kemudian diugut untuk memasukkan wang ke dalam sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki, lalu memindahkan RM10,000 melalui empat transaksi kerana takut video itu disebarkan.

Anuar berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 7.18 malam Rabu lalu.

Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan modus operandi penjenayah yang melakukan pemerasan wang menggunakan aplikasi telefon bimbit.

“Sebanyak 20 kes membabitkan jenayah pemerasan sebar gambar dan video lucah dilaporkan tahun ini,” kata Anuar, menurut laporan Harian Metro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.