Saman Indira Gandhi ke atas ‘tiada tindakan’ polis akan dibicara penuh

Saman Indira Gandhi ke atas ‘tiada tindakan’ polis akan dibicara penuh

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, perbicaraan penuh itu akan diteruskan pada 15 Dis ini.

M Indira Gandhi memfailkan saman tahun lalu dengan mendakwa polis tiada tindakan dalam melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan perbicaraan penuh berhubung saman M Indira Gandhi terhadap polis dan kerajaan atas dakwaan tiada tindakan dalam melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya kerana menghina mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu ketika prosiding dalam talian hari ini.

Ketika menolak percubaan kerajaan untuk membatalkan saman Indira beliau berkata, terdapat isu yang perlu disebut dalam perbicaraan penuh.

“Walaupun defendan (kerajaan, polis) dalam permohonan pembatalan ini betul ketika menekankan saman tersebut mungkin tidak berdasarkan dakwaan ketidakpatuhan kepada perintah pengembalian, saman itu pada pandangan saya masih boleh diteruskan, walaupun adanya perintah komital.

“Berlawanan dengan pernyataan kerajaan, saman ini mendedahkan kausa tindakan munasabah kerana ‘tort nonfeasans’ di bawah undang-undang Malaysia diiktiraf mengikut Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan yang menyatakan kerajaan boleh dikenakan tindakan apabila mana-mana penjawat awam melakukan sebarang tindakan salah, cuai atau ingkar berkaitan tugas.”

Nazlan berkata, hujah kerajaan bahawa saman Indira akan menghasilkan banyak prosiding memandangkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh belum selesai adalah tanpa merit.

“Ini kerana kausa tindakan ‘tort nonfeasans’ dan remedi ganti rugi dalam saman ini tidak pernah dibangkitkan dalam prosiding lain.

“Semakan kehakimannya berpusat pada tuntutan memaksa polis melaksanakan perintah komital.

“Ini bagaimanapun tidak menghalangnya daripada mengemukakan saman sivil untuk menuntut ganti rugi atas kerugian yang didakwa dialaminya akibat dakwaan ketidakpatuhan defendan kepada perintah mandamus dan komital,” katanya merujuk kepada prosiding menghina mahkamah terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah atas kegagalan menyerahkan penjagaan anak perempuan bongsu mereka, Prasana Diksa, kepadanya.

Nazlan berkata, beliau sedar “setiap rakyat Malaysia mempunyai hak berperlembagaan untuk mendapatkan keadilan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan kesan daripada pembatalan tuntutan akan menghalang plaintif didengar di mahkamah sama sekali”.

Berhubung usaha Indira mendapatkan 48 jawapan daripada polis atas siasatan mereka ke atas bekas suaminya, mahkamah membenarkan sebahagian daripada permohonannya mengenai soalan berhubung prosiding komital.

Nazlan akan mendengar kes itu mulai 15 Dis ini.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membayar kos RM4,000 atas perintah membatalkan saman itu.

Indira memfailkan samannya tahun lalu dengan mendakwa tiada tindakan polis dalam melaksanakan waran itu ke atas Riduan. Beliau menuntut ganti rugi dan deklarasi bahawa Ketua Polis Negara melakukan “tort nonfeasans” di pejabat awam.

Kerajaan mahu membatalkan samannya atas alasan ia adalah remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah dengan mendakwa beliau salah mengambil tindakan sivil. Ia berkata, semakan kehakimannya terhadap kerajaan juga belum selesai di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 mengarahkan Ketua Polis Negara melaksanakan waran komital ke atas Riduan, selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah kerana enggan menyerahkan Prasana.

Prasana dilarikan daripada ibunya pada 2010.

Mahkamah tertinggi itu berkata, hakim Mahkamah Tinggi Ipoh akan memantau kemajuan pelaksanaan waran tangkap itu.

Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi dan Safiyyah Omar mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.