PBT ada kuasa tutup kilang langgar SOP, kata Zuraida

PBT ada kuasa tutup kilang langgar SOP, kata Zuraida

PBT boleh menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit bersama Akta Kerajaan Tempatan, kata menteri.

MARAN:
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk menutup kilang yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP0 bagi membendung penularan Covid-19, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Semalam Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han dilaporkan berkata, PBT tidak mempunyai kuasa untuk menutup kilang kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Zuraida berkata, PBT boleh menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bersama Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171).

“Pada 29 Jun lepas, kerajaan pusat menurunkan kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak termasuk individu, syarikat dan kilang yang tidak mematuhi SOP dengan mereka boleh dikompaun mengikut Akta 342.

“PBT di seluruh negara boleh menguatkuasakannya. Jadi tidak ada isu PBT tidak boleh tutup kilang kerana mereka boleh menggunakan Akta 342 dan disokong Akta 171 bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menutup dan mengambil tindakan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kampung Serengkam dan Kampung Orang Asli Merbau dekat sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.