Polis tahan 6 individu, rampas senjata, dadah RM3.5 juta

Polis tahan 6 individu, rampas senjata, dadah RM3.5 juta

Individu ditahan termasuk sepasang kekasih melibatkan dua sindiket pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dua sindiket pengedaran dadah ditumpaskan di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Pulau Pinang menahan enam individu termasuk sepasang kekasih membabitkan dua sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.5 juta dalam siri serbuan di sekitar negeri itu sejak 6 Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik Bernama berkata, serbuan Isnin lepas susulan operasi khas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah hasil serbuan di tiga rumah di Perai, Seberang Jaya serta Simpang Ampat, antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Sementara itu katanya, satu lagi sindiket pengedaran dadah turut ditumpaskan dengan rampasan 60kg syabu bernilai RM2.1 juta pada 6 Julai yang terbongkar susulan kejadian dua bot nelayan berlanggar di kawasan Sungai Kuala Muda, Penaga dekat sini.

“Dalam serbuan di Perai, polis menahan sepasang kekasih dan seorang lelaki berumur 25 hingga 42 tahun di sebuah rumah teres setingkat serta merampas 27 bungkusan syabu seberat 29.1kg.

“Turut dirampas wang tunai RM760,000 serta pelbagai barang kemas bernilai RM55,000,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, polis juga merampas sepucuk pistol, satu kelopak bersama 13 butir peluru, 4.3kg “heroin base”, heroin (8.6 kg) dan kafein sebanyak 52.1kg hasil serbuan di sebuah rumah di Seberang Jaya sebelum menahan seorang lagi lelaki berumur 33 tahun di Simpang Ampat.

Katanya, semua dadah dirampas yang bernilai RM1.4 juta itu adalah untuk pasaran di sekitar negeri ini dan boleh digunakan 404,500 penagih.

Siasatan juga mendapati sindiket tersebut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, dalam siri serbuan itu polis turut menyita sembilan kenderaan, iaitu enam kereta, sebuah motosikal berkuasa tinggi, sebuah lori dan sebuah basikal yang kesemuanya bernilai RM366,150.

“Empat suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu katanya, dalam kejadian melibatkan pelanggaran dua bot nelayan 6 Julai lalu, seorang daripada tiga lelaki di dalam bot yang membawa dadah terjatuh ke dalam laut.

Pihaknya bersama bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat namun gagal menemuinya selepas tiga hari. Susulan itu polis tidak menolak kemungkinan dia melarikan diri.

“Selepas menerima maklumat berhubung kejadian pelanggaran bot itu, polis pergi ke lokasi kejadian sebelum menjumpai 60kg syabu dan menahan dua lelaki berumur 38 tahun serta 42 tahun di Kepala Batas bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan mendapati sindiket itu berperanan sebagai “transporter” atau pengangkut sejak awal tahun ini dengan menjalankan urus niaga dadah di kawasan perairan antarabangsa sebelum menghantarnya ke negara jiran.

Semasa kejadian, mereka dipercayai baharu mendapatkan bekalan syabu dan semua dadah tersebut untuk pasaran negara jiran.

“Dua lelaki yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala usaha mengesan dua lagi lelaki termasuk suspek yang terjatuh ke dalam sungai itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.