
Menurutnya, cukai tersebut mampu membantu kerajaan menambah sumber kewangan sekaligus dapat menyediakan dana untuk disalurkan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19.
“Cukai untung luar biasa ini bukanlah satu benda yang luar biasa, ini mungkin membantu kerajaan. Kita perlu belanja banyak kerana kita tolong orang yang miskin, kena bagi tambahan pendapatan, orang tak ada makan, kita kena bagi makan.
“Semua memerlukan kewangan tetapi kalau kita ikut cukai secara biasa, aktiviti (ekonomi) kurang dan kerajaan juga akan dapat cukai yang kurang,” katanya di forum Reset Malaysia: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan? menerusi Facebook.
Melihat kepada jumlah jangkitan yang membimbangkan, beliau menyarankan agar kerajaan menumpukan sepenuhnya usaha memerangi Covid-19 dan menyusun semula agihan peruntukan mengikut keutamaan.
Disoal mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), katanya, mengadakan semula cukai baharu dalam situasi sekarang tidak akan mengurangkan masalah yang dihadapi kerajaan.
“Pendapat saya ialah mengadakan cukai baharu ini tidak sendirinya mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kerajaan kerana kerajaan sekarang ini tidak dapat kutip cukai yang cukup,” katanya.