
Dalam sidang media hari ini untuk menyerahkan memorandum kejadian itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, ini adalah kematian dalam tahanan yang ke-12 tahun ini.
NGO itu yang mengendalikan kes berkenaan berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Roopan Karnagaran tidak mempunyai masalah kesihatan.
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan berkata, Roopan ditahan berhubung pembabitannya dalam pembunuhan tiga individu di rumah jirannya di Dengkil pada 2013 ketika dia berusia 17 tahun.
Polis berkata, DNA pemuda itu ditemui di tempat kejadian. Dia disabitkan bersalah empat tahun kemudian pada 2017 ketika berusia 21 tahun dan memfailkan rayuan terhadap sabitan itu dengan menegaskan dirinya tidak bersalah.

Roopan ditahan di penjara ketika menunggu rayuannya, yang ditetapkan pada 29 Jun ini, tetapi pada 17 Jun lalu, dia mengadu mengalami kesukaran bernafas dan dimasukkan ke Hospital Kajang.
Dia dirawat dan dibenarkan keluar hospital serta kembali ke penjara. Dia dilaporkan meninggal dunia pada 21 Jun, lapan hari sebelum rayuannya didengar.
Suaram mendakwa pihak berkuasa penjara cuba menyembunyikan kematian itu berdasarkan laporan polis mereka yang menyatakan Roopan tidak mati dalam penjara.
Laporan polis itu menyatakan dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Keluarganya turut membuat tiga laporan polis berhubung kejadian itu.
Peguam keluarganya menyerahkan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengadakan inkues atas kematiannya.
Peguam berkata, Jabatan Peguam Negara mengarahkan pegawainya memeriksa sama ada fail laporan kematian mengejut sudah dibuka untuk melihat jika inkues boleh diadakan.
Arulchelvan berkata, keluarga itu tidak dimaklumkan Roopan mempunyai komplikasi kesihatan atau dimasukkan ke hospital. Mereka juga tidak tahu dia dibenarkan keluar hospital dan sama ada dia pulih sepenuhnya.
Berdasarkan keputusan bedah siasat, katanya, Roopan meninggal dunia akibat pembekuan darah di kaki.
Bapa saudara Roopan, K Sevakumar berkata, hospital memaklumkan keluarga yang dia disahkan negatif Covid-19 dan akan dirawat dengan antibiotik selama lima hari di wad bukan Covid-19.
Katanya, mereka turut menerima maklumat dari dalam penjara yang Roopan mengadu menghadapi masalah bernafas seminggu sebelum dia akhirnya dimasukkan ke hospital.
Selepas kematiannya, keluarganya menerima berita dari pihak berkuasa penjara yang dia sebenarnya positif Covid-19, walaupun hospital memaklumkan dia disahkan negatif.
Disebabkan itu, mereka tidak dapat melihat keadaan badannya.
Menurut memorandum Suaram kepada SUHAKAM, penjara menyembunyikan fakta dia dimasukkan ke hospital apabila keluarganya menghubungi mereka pada 17 Jun.
Dia juga didakwa didera semasa mula meminta rawatan untuk keadaannya.
Memorandum itu turut menyatakan maklumat daripada pemberi maklumat mendakwa Roopan ditempatkan di “bilik insaf” (biasanya untuk tahanan yang melakukan kesalahan disiplin) selepas keluar dari Hospital Kajang, bukannya dipindahkan ke hospital penjara untuk tahanan sakit.
Keesokannya, Roopan dilihat dibawa keluar dari bilik itu ke hospital semula. Kali ini, dia dilaporkan tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia.
Pesuruhjaya SUHAKAM, Madeline Berma berkata, suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan secara adil ke atas kematian itu.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap 12 kematian dalam tahanan untuk tahun ini sahaja kerana ini mungkin bukan kes terakhir.