Hilang hampir seminggu, mayat dipercayai lelaki warga emas ditemui

Hilang hampir seminggu, mayat dipercayai lelaki warga emas ditemui

Warga emas itu dikatakan mengalami masalah ingatan dan tidak dilihat selepas keluar dari rumahnya pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya percaya mayat itu adalah Yaacob Lateh, 83, berdasarkan pakaiannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menemui mayat dipercayai seorang lelaki warga emas, yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu di dalam hutan di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut petang tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya percaya mayat itu adalah Yaacob Lateh, 83, berdasarkan pakaiannya, menurut laporan Bernama.

Yaacob yang dipercayai mempunyai masalah daya ingatan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lubuk Kawah dengan menunggang motosikal, pada pagi Ahad.

Abdul Rozak berkata, mangsa dipercayai tidak menemui jalan pulang dan lokasi mayat ditemui adalah kira-kira 20km dari rumah Yaacob.

Motosikal Yaacob ditemui kira-kira 2km dari lokasi berkenaan pada Isnin lalu.

“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut malam ini untuk bedah siasat dan pengecaman waris.

“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu, kerana mayat itu telah pun berbau,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.