Hajiji hargai Bung tetap bersama GRS, selepas Umno tarik sokongan kepada Muhyiddin

Hajiji hargai Bung tetap bersama GRS, selepas Umno tarik sokongan kepada Muhyiddin

Ketua Menteri Sabah itu berkata, keutamaan kerajaan negeri ialah menjaga nasib dan masa depan rakyat serta negeri itu.

Hajiji Noor berkata, perjuangan bersama rakyat perlu diterjemahkan melalui komitmen semua pemimpin untuk fokus, bekerjasama dan bersatu padu membawa Sabah keluar daripada permasalahan sekarang. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menghargai pendirian Ketua Umno negeri, Bung Moktar Radin yang konsisten dengan komitmennya untuk terus bersama mengukuhkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi GRS itu berkata, keutamaan kerajaan negeri ialah menjaga nasib dan masa depan rakyat serta Sabah.

Katanya, perjuangan bersama rakyat perlu diterjemahkan melalui komitmen semua pemimpin untuk fokus, bekerjasama dan bersatu padu membawa Sabah keluar daripada permasalahan sekarang.

“Cabaran di hadapan kita adalah menangani isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi susulan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Bung dilaporkan berkata, Umno Sabah akan tetap bersama GRS, walaupun Umno Pusat menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Katanya, Umno Sabah percaya tiada alasan untuk meninggalkan GRS kerana kerajaan negeri menjalankan tugasnya.

Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan meminta beliau meletak jawatan selepas gagal memenuhi syarat ditetapkan Umno untuk mendapat sokongannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.