
Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata, ini kali pertama mahkamah memberikan ganti rugi kepada ahli keluarga individu yang meninggal dunia ketika dalam tahanan pihak berkuasa.
“Kami akan kaji alasan meluas untuk lihat sama ada perlu rayu liabiliti dan kuantum yang diberikan,” katanya.
Kerajaan terlebih dahulu perlu memfailkan permohonan kebenaran sebelum merit rayuan dapat didengar.
“Kami ada 30 hari untuk memutuskan sama ada akan pergi ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, panel tiga hakim terdiri daripada Yaacob Md Sam, Ahmad Nasfy Yasin dan M Gunalan, memberikan sejumlah RM302,000 sebagai ganti rugi dan RM35,000 sebagai kos kepada suri rumah Rahaya Salleh, ibu kepada Kamarulnizam Ismail.
Selain RM250,000 bagi kecuaian, panel hakim turut memberikan RM40,800 bagi tuntutan tanggungan dan RM10,000 bagi ganti rugi khas.
Rahaya turut menerima RM2,000 untuk perbelanjaan pengebumian anaknya seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
Panel turut memberikan RM35,000 kepada beliau sebagai kos prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Nasfy, yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata, Kamarulnizam berada dalam tahanan sejak 14 Feb 2014 hingga kematiannya pada 4 Mac 2014.
“Dia berulang kali disoal siasat polis dan pihak berkuasa penjara juga tidak memastikan keselamatan dan kesihatannya,” kata Nasfy.
Beliau berkata, tidak masuk akal Kamarulnizam meninggal dunia dalam tempoh 24 jam akibat radang paru-paru.
Rahaya mengemukakan saman terhadap kerajaan, polis dan Jabatan Penjara pada 2017 atas dakwaan serangan dan kecuaian selepas anaknya meninggal dunia di Penjara Tapah.
Kamarulnizam dihantar ke penjara pada 3 Mac tahun itu untuk menjalani hukuman selama dua minggu selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.
Bapanya, Ismail Ahmad, pergi ke mahkamah Bukit Mertajam untuk membayar denda tetapi Kamarulnizam ingin menjalani hukuman penjara kerana dia berhasrat menggunakan wang itu untuk membaiki keretanya.
Rahaya berkata, anaknya ditahan polis pada 22 Feb 2014 bersama tiga yang lain dan mendakwa Kamarulnizam diserang tiga anggota polis ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam.