Polis siasat dakwaan gadis sindrom down didera

Polis siasat dakwaan gadis sindrom down didera

Semua saksi terlibat positif Covid-19 dan pihak polis akan meneruskan siasatan setelah mereka selesai menjalani kuarantin.

Mangsa dan dua lagi kanak-kanak berusia dua tahun adalah OKU sindrom Down dan tinggal bersama empat kanak-kanak lain di pusat jagaan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat kes seorang kanak-kanak sindrom Down berusia 13 tahun yang didakwa didera di sebuah pusat jagaan milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sebuah kondominium di Wangsa Maju di.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusoff berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan dua lagi kanak-kanak berusia dua tahun adalah OKU sindrom Down dan tinggal bersama empat kanak-kanak lain di pusat jagaan itu.

Saiful berkata, kesemua mereka tinggal di unit yang dijaga oleh seorang perempuan Melayu berumur 28 tahun sejak 14 Julai 2020.

“Kesemua kanak-kanak tersebut (kecuali mangsa) tiada sebarang kecederaan.

“Mangsa mempunyai kesan melecur di dada, tangan, leher dan peha serta kesan luka. Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa mangsa mengalami kecederaan ‘infected burn wound over bilateral forearm and multiple old scars all over body.’ Mangsa juga didapati positif Covid-19.”

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan tersebut, membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Semua saksi terlibat didapati positif Covid-19 dan pihak polis akan meneruskan siasatan setelah mereka selesai menjalani kuarantin yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tular di media sosial Facebook mengenai seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down yang didakwa didera di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak milik sebuah NGO.

Laporan polis dibuat individu berkenaan yang menghantar makanan ke sebuah unit kondominium yang menjadi pusat jagaan NGO terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.