
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video berkenaan boleh menimbulkan ketakutan kepada masyarakat kerana wanita itu mendakwa penularan Covid-19 di Selangor berpunca daripada perbuatan pengusaha kilang tidak mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dalam mengurus pekerjanya.
Beliau berkata, video selama tiga minit empat saat yang tular di aplikasi Tik Tok itu memaparkan dakwaan wanita berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai pengerusi gabungan NGO di Selangor.
“(Wanita itu) mendakwa peningkatan kes wabak itu disebabkan tindakan pengusaha kilang sarung tangan memindahkan pekerjanya yang positif dari asrama pekerja di Petaling Jaya ke dua hotel di Klang bagi membolehkan mereka hadir bekerja dalam tempoh PKPD,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, wanita itu juga mendakwa terdapat kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang sarung tangan itu sehingga menyebabkan seluruh asrama pekerja di Sungai Way, di daerah Petaling Jaya dikenakan PKPD, namun kilang itu masih beroperasi sepenuhnya.
“Siasatan terhadap individu di dalam video yang tular itu (dilakukan) di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan satu kenyataan yang mendatangkan khianat awam menyebabkan ketakutan kepada orang awam.”
Fakhrudin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara turut membuka kertas siasatan ke atas pengusaha kilang itu di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin menyebabkan penularan penyakit berjangkit kepada orang lain.
Katanya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau menasihati orang ramai supaya lebih peka dan prihatin sebelum menyebarkan apa-apa maklumat dan menghubungi pihak berwajib jika mempunyai maklumat, bukannya menyebarkan melalui media sosial.