
Waktu tamat operasi pada 8 malam sebelum ini membantutkan perniagaan mereka, terutama yang khusus menjual makanan malam.
Namun, dalam tempoh beberapa hari sahaja, kelegaan mereka bertukar kecewa setelah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) diumumkan, yang mengembalikan tempoh operasi dari 8 pagi hingga 8 malam di hampir seluruh Selangor dan banyak kawasan di Kuala Lumpur.
Bagi pengusaha gerai di medan selera terbuka SS2, ini menjadi penghalang besar yang sukar diatasi.
“Rasa macam baru kita dapat bernafas, tiba-tiba sesak semula selepas waktu operasi dihadkan lagi,” kata Nor, 53.
“Tetapi saya rasa kita semua harus melalui ini demi keselamatan semua orang.”

Beliau menjual minuman dan mi goreng di sini sejak lebih 30 tahun lalu, setelah membuka gerai itu bersama suaminya, yang tetap diteruskan selepas suaminya meninggal dunia.
Keadaan sejak setahun lalu memang sukar, dengan pelanggan jarang makan di premis, dan sekatan pergerakan mengehadkan bilangan pengunjung.
Tempoh berniaga yang lebih singkat bermaksud beliau dan anak perempuannya berusia 20 tahun akan memulakan perniagaan pada 3 petang, bukan 5 petang seperti biasa.
Waktu tamat operasi pada 8 malam jauh lebih awal daripada sebelum ini apabila beliau pernah berniaga sehingga 3 pagi.
Bergantung hanya pada perkhidmatan bawa pulang makanan, perniagaannya menjadi perlahan, dan beliau tidak menjangkakan ia akan bertambah baik.
Namun, beliau tidak mampu untuk tidak berniaga lagi, kerana ini satu-satunya sumber pendapatannya.
“Ada pelanggan saya mengeluh mereka tiada pekerjaan. Ada pelanggan yang bekerja di pusat urut bertanya sama ada mereka boleh bekerja untuk saya. Saya minta maaf dan dengan sedih memberitahu mereka, saya tidak mampu mengupah mereka.”
Sementara itu, Farra, 44, yang berniaga ikan bakar berkata, waktu tamat operasi pada 8 malam terlalu singkat kerana pelanggan biasa hanya muncul sekitar 6 petang hingga 7 malam.
Oleh kerana kos mengusahakan gerainya lebih tinggi daripada keuntungan diraih, beliau membuat keputusan untuk tidak membuka gerai sepanjang PKPD, dan katanya, platform penghantaran makanan tidak membantu menarik lebih ramai pelanggan.
Namun, Farra mengakui bahawa beliau mempunyai kelebihan berbanding pengusaha gerai lebih berusia yang sukar menggunakan sumber dalam talian untuk membantu perniagaan mereka.
“Ada pakcik di sini untung kurang RM50 sehari. Mereka masih perlu bayar upah pekerja dan bil,” katanya.
Seorang lagi pengusaha gerai, Ibrahim, turut bingung sama ada akan dibenarkan memandu pulang ke rumah selepas 8 malam, kerana jika tidak, beliau terpaksa menutup gerainya lebih awal.

Pengusaha lain dikenali sebagai Pak Lang, yang berniaga di situ sejak 30 tahun lalu, bimbang bagaimana beliau dan isterinya hendak berniaga, dengan had satu orang dalam satu kereta sewaktu PKPD dan lebih banyak sekatan jalan raya.
Katanya, beliau merasa sedih dengan situasi semasa Covid-19, serta implikasinya terhadap pengusaha sepertinya.
Anak jati Kedah itu menyalahkan ahli politik atas keadaan ini, dan bimbang dengan ketiadaan pendapatan yang dapat dijangka dialaminya akibat pelaksanaan PKPD.