
Pos Malaysia dalam kenyataannya berkata, pekerja Pos Rider yang terjejas akan menerima notis pemberhentian 14 hari mengikut fasal pemberhentian seperti terkandung dalam kontrak mereka.
Katanya, Pos Rider adalah “program crowdsourcing” yang berperanan sebagai sokongan kepada kakitangan penghantaran kurier Pos Malaysia ketika tempoh puncak disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Program Pos Rider menyediakan 1,400 peluang pekerjaan baharu selain memainkan peranan kritikal dalam penguatkuasaan PKP tahun lalu yang menyaksikan jumlah bungkusan meningkat mendadak kesan daripada pembelian dalam talian.
“Walaupun permintaan terhadap pembelian dalam talian terus berkembang bagi penyedia perkhidmatan kurier tahun ini, namun faktor persaingan sengit dalam segmen e-dagang menyebabkan pemain dalam sektor berkenaan menubuhkan khidmat penghantaran mereka sendiri,” katanya.
Katanya, kesan langkah berkenaan menjurus kepada pengurangan kebergantungan pasaran terhadap syarikat khidmat kurier tempatan sekali gus menyumbang kepada kestabilan bungkusan.
Ketika ini, mereka berdepan kapasiti berlebihan yang mampu mengendalikan penghantaran barang kerana jumlah barang penghantaran tidak lagi melonjak, katanya.
Katanya, pihak Pos Malaysia mengambil keputusan mengurangkan program “outsourcing”, Pos Rider dan mahu mengutamakan kakitangan sedia ada menerusi peluang melakukan kerja lebih masa demi kelangsungan kehidupan mereka.
“Dalam situasi mencabar di tengah-tengah pandemik, menjadi keperluan kepada pihak Pos Malaysia mengambil pendirian mengoptimumkan kos dan sumber sedia ada demi memastikan kemampanan perniagaan untuk 13,600 kakitangan barisan depan Pos Malaysia di seluruh negara,” katanya.
Selain faktor persaingan sengit, Pos Malaysia menerima kesan hasil lambakan harga (penawaran harga rendah tidak munasabah) daripada pemain industri lain bertujuan mengganggu pasaran.