
Projek Bendera Putih atau #BenderaPutih meminta mereka yang terkesan supaya mengibarkan bendera putih di luar rumah dan mengetepikan rasa malu atau takut untuk meminta bantuan, lebih-lebih lagi susulan berlakunya peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan mereka yang tertekan.
Poster kempen yang disebarkan dalam talian pada malam Selasa lalu mencetuskan gelombang di media sosial apabila ramai membuat hantaran menawarkan bantuan kepada mereka yang terdesak.
Ramai yang mengambil bahagian dalam kempen itu menyalahkan kegagalan pentadbiran kerajaan dalam melindungi kebajikan orang ramai ketika pandemik.
Berikut adalah beberapa individu dan organisasi yang bersedia membantu mereka yang memerlukan:

1) Nur Dinie Mohd Fadil
Nur Dinie berhasrat membantu mereka yang memerlukan di Negeri Sembilan.
Sumbangan derma akan digunakan untuk menyalurkan bantuan wang tunai dan makanan selain menyediakan beberapa barangan keperluan lain.
Anda boleh menghubunginya di talian 019 4203209.
2) Alya Syahida Allias
Alya Syahida sedang berusaha mengumpul wang tunai untuk 229 keluarga di Kampung Sokoon, Kampung Lubang Buaya dan Kampung Batongon di Sabah yang mengalami kesukaran ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Lokasi tersebut hanya boleh diakses menerusi pengangkutan bot.
Kebanyakan penduduk kampung terbabit terdiri daripada golongan petani, penoreh getah serta buruh ladang kelapa sawit.
Dia perlu mengumpul wang sebanyak RM22,900 untuk membantu semua keluarga. Ia akan digunakan untuk menyediakan bantuan makanan dan keperluan lain kepada mereka yang terjejas.
Anda boleh menghubunginya di talian 013 2513211.
3) Shariffa Sabrina
Shariffa mengusahakan Kafe Tanah Aina di Batu Tiga, Shah Alam. Restoran itu akan menyediakan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
Orang ramai boleh singgah di restorannya bermula jam 11 pagi hingga 5 petang atau 6 petang hingga 8 malam. Anda boleh menghubungi nombor 03-55243258 untuk maklumat lanjut.
4) The Lockdown Kit
The Lockdown Kit adalah akaun Instagram yang diwujudkan sebagai platform untuk mengedarkan makanan dan barangan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan di seluruh negara.
Buat masa ini, mereka berhasrat untuk menghantar 30 bungkusan barangan menjelang 5 Julai. Sehingga kini, 30 slot sudah diisi namun mereka akan menyediakan lebih banyak slot.
Setiap bungkusan terdiri daripada lima pek mi segera, bihun, tepung, emping cili, biskut, sardin, teh, Milo, ketupat segera dan makanan segera untuk dipanaskan dalam ketuhar.
Terdapat juga barangan penjagaan kebersihan diri seperti ubat gigi, sabun serta tuala wanita.
Untuk memohon bantuan bungkusan itu dihantar, anda boleh menghubungi mereka dengan meninggalkan mesej secara terus di @lockdownkit bersama nama, alamat, nombor telefon. Semua bungkusan akan dihantar dalam tempoh dua hingga tiga hari.
5) Dr Jezamine Lim
The Hope Branch yang dikendalikan Lim mengedar kira-kira 1,500 bekas makanan siap masak setiap minggu dengan memberi fokus kepada golongan gelandangan dan komuniti B40 di sekitar kawasan miskin bandar di Selangor dan Kuala Lumpur.
Kumpulan itu juga mengedarkan makanan kepada keluarga yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti PPR Pantai Dalam, Shah Alam, Lembah Subang, Kota Damansara dan Jinjang.
Ia juga mengedarkan barangan basah seperti daging dan sayur untuk membolehkan keluarga terbabit memasak sendiri makanan di rumah.
“Kami berusaha keras untuk memastikan ia dapat dilakukan secara berterusan. Kami dibantu oleh mereka yang hilang pekerjaan, iaitu ibu tunggal atau penjaja untuk memasak makanan supaya mereka mempunyai pendapatan secara berterusan,” katanya.
Kumpulan itu turut mengagihkan 2,051 bungkusan makanan kering sepanjang PKP 3.0.
Mereka juga mengalu-alukan apa sahaja sumbangan daripada orang ramai termasuk makanan kering dan pelitup muka. Anda boleh menghubungi The Hope Branch di talian 019 7093103.