
Afidavit berkenaan dikemukakan oleh Opus Consultants, yang laporannya kepada kerajaan pada 2018 dipetik oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong Ogos lalu ketika mengumumkan pembatalan kontrak tersebut.
Kata Wee, projek itu melebihi kos sebanyak lebih RM1 bilion dan kerajaan memutuskan untuk membuka semula proses pembidaan. Keputusan ini mendorong kontraktor projek Dhaya Maju-LTAT membawa kes ini ke mahkamah, dengan menamakan Wee dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
Menurut afidavit Opus, pengarah syarikat Chan Tuck Leong dihubungi pada Ogos 2018 oleh menteri pengangkutan ketika itu, Loke Siew Fook untuk meninjau projek KVDT2 berdasarkan maklumat yang tersedia untuk umum dan perincian kos yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan.
“Salah satu objektif laporan Opus adalah untuk melakukan penilaian kos berdasarkan data kos daripada projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar ditambah dengan data kos yang dikemas kini dari sumber pasaran,” menurut afidavit berkenaan.
Katanya, data kos projek Ipoh-Padang Besar adalah daripada 11 tahun lalu.
Menurut afidavit itu lagi, laporan Opus berkenaan diserahkan pada akhir bulan yang sama dengan beberapa penafian – laporan itu disiapkan atas permintaan kementerian, ia tidak dapat diandalkan oleh pihak ketiga, ia berdasarkan maklumat yang terbatas dan ia bukan pengganti siasatan bebas.