DUN Pahang bersidang selepas darurat tamat, kata MB

DUN Pahang bersidang selepas darurat tamat, kata MB

Wan Rosdy Wan Ismail berkata, banyak isu rakyat perlu dibincangkan selepas lama tidak bersidang.

 Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pihaknya tidak bercadang bersidang secara maya, sebaliknya akan melakukannya secara fizikal dengan pematuhan SOP. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pahang merancang mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tempoh darurat tamat Ogos ini, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, banyak isu rakyat perlu dibincangkan, selepas lama tidak bersidang, tetapi persidangan tidak boleh berlangsung dalam tempoh darurat.

“Kita tidak bercadang bersidang secara maya, sebaliknya akan melakukannya secara fizikal dengan pematuhan SOP ditetapkan, kerana ia berlangsung dalam Fasa 1 perintah kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara,” katanya menurut laporan Bernama.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Marina Awam Pulau Tioman dan Kampung Genting, dekat Rompin.

PPV itu dibuka sejak Isnin lalu bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Pulau Tioman, membabitkan suntikan vaksin kepada 1,700 penerima.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Speaker DUN Pahang Ishak Muhamad juga akan memohon menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah, bagi mendapatkan perkenan baginda.

Berdasarkan perancangan asal, sidang DUN Pahang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 16 Ogos.

Wan Rosdy berkata, tidak ada masalah untuk wakil rakyat bersidang secara fizikal di Wisma Sri Pahang, Kuantan memandangkan perkara itu pernah dilakukan, mengambil kira kali terakhir ia berlangsung ialah pada November 2020 semasa Pahang berada bawah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Ketika itu katanya, jumlah kehadiran dalam sidang DUN adalah terhad, menyebabkan kehadiran ketua jabatan tidak dibenarkan, selain aspek penjarakan fizikal dibuat pada kedudukan tempat duduk ADUN dengan pemasangan cermin pemisah, serta mewajibkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.